12 October 2014

somewhere I belong.



Malam ini hening. Muramnya Bulan, sepinya cengkerik dan suamnya semilir. Berteman sebuah kipas dengan bunyi usangnya merasa jeda dan membiarkan masa berlari pergi. Sepatutnya saya pergi berjalan-jalan sekarang. Bertemu rakan-rakan dan berbual-bual tentang masa hadapan. Mungkin juga kembali ke masa lampau. Atau, yang paling penting; keluar dari masa sekarang. Memberi erti kehidupan dengan melihat kehidupan orang lain. Sepatutnya.

Tetapi saya sudah banyak berjalan. Dan saya juga telah sesat dan hilang. Serasa tidak fit into society di sesetengahnya, dimana sahaja kawasan elitis mengasak keperluan menjadi kehendak (berdasarkan label harganya). Tanah yang saya pijak ini semakin lama semakin hilang dengan nama-namanya yang baru. Avenue K, South City, Nexus, Scott Garden, Encorp Strand, Quill 9 dan banyak lagi. Tanah yang sama, dengan pemilikan total, zaman telah bergerak dan membunuh identiti lokal. Setiap harga bukan jadi masalah di atas nama kemajuan. Setiap reka bentuk - sama ada hadir dengan fungsi atau tidak - cuma layak dinikmati, cukup begitu. Nilai estetik pada struktur tidak perlu menjadi objektif.

Sebab itu, sebuah tugu dengan roh keilmuan yang hebat dan sempurna boleh sahaja bertukar menjadi senjata purba yang telanjang. Pandangan akal saya kabur dalam kabus dan jerebu, saya sesat dan hilang lagi di tanah yang saya amat kenali.

28 September 2014

Say yes, say yes cause I need to know.


Di gua terpencil pada hari buangan
al-Quran kuhayati dengan kenikmatan.
-    A.S. Pushkin

Hari Sabtu ialah hari kaum pekerja melepaskan dirinya kepada hal-hal di luar rutin, sepatutnya. Tetapi, Sabtu aku semalam bermula dengan perang di meja syura. Dalam tiga jam sahaja, kecederaan mental menjadi teruk dan fatal. Maka, aku meloloskan diri dengan arus kota dan aroma kopi yang menggoda. Sehinggalah aku dibawa sampai ke espressolab di nu sentral.

Ada Redza yang berkongsi tentang The Fountainhead tulisan Ayn Rand. Bukunya bagus dan meng-inspirasi (etlis secara personal bagi Redza). Tetapi, yang menariknya ialah sesi penelitian terhadap falsafah di sebalik penulisannya. Di sini, ada perbincangan tentang objectivism melalui pertentangan antara individualism dan collectivism. Tentang sesorang yang mahu menterjemah sebuah idea dan visi; dan melalui proses menjadi versi terbaik untuk dirinya adalah dengan individualism yang pekat tanpa berkompromi dengan idea orang lain.

Aku terbayangkan Hitler, Stallin, Genghis Khan, Tun Mahathir, Steve Jobs dan (bolehlah) bos aku (sambil membayangkan dia meramu latte art-nya). Mungkin aku terlepas beberapa nama, heh. Lihat, semua figura ini ada suntikan objectivism dalam proses mereka menghasilkan legasi untuk kita cermati.

Mungkin dari sebelah dalam, objectivist hanya berkhalwat dengan visinya, tanpa orang lain untuk bersamanya. Dari luar, akan ada dua jenis orang; yang faham dan mendokong, dan yang bermuka-muka acah safe play. Bagi objectivist dia tidak perlu memikirkan apa yang orang fikir untuk terus menjadi dirinya. Tetapi, tidak semua perkara adalah lancar dan mudah jika dilandasi individualism secara absolut. Maka, bagaimana berkompromi dengan idea-idea luar tanpa mengurangi dan menggoyah prinsip, ialah dengan “the ability to reason” jawab Redza.

Perbincangan ini sangat baik, terima kasih #BorakBuku.

***
Dewan Sastera, bil. 8 2014
Sepulang dari itu, sambil membelek sebuah artikel yang membicarakan puisi Mengimbas Al-Quran tulisan Pushkin (sasterawan Rusia), seolah-olah susunan baris-barisnya menegur aku, tiada siapa lagi yang paling hebat dan berjaya menjadi jambatan reason antara individualism dan collectivism, yang menyampaikan visi agama sekaligus berkompromi, hanyalah Muhammad s.a.w. 

Salam alayka ya Rasulullah.

20 September 2014

tentang merindui masakan dari kampung halaman



Beberapa minggu lalu di suatu sela masa diantara Maghrib dan Isya, Us Fauzi sedang bersemangat mengulas tentang perang Gaza-Israel baru-baru ini. Seingat aku, yang paling dia tekankan ialah bagaimana semua permintaan Hamas berjaya mendesak Israel untuk diheret bersama ke meja perbincangan untuk kesepakatan di masa akan datang. Dia tekankan lagi bahawasanya tentera Islam telah menang. Bantuan Allah telah sampai. Dan kita sepatutnya meraikan peristiwa ini dengan takbir. Takbir yang dimaksudkan bukanlah takbir dengan nada kesedihan dan kesyahduan seperti yang dipraktis dalam kebiasaan masyarakat kita. Tetapi dia mahukan umat ini melihat semula definisi takbir, teknik lantunan dan pengisiannya sebagai takbir kemenangan. Dan di satu sudut, ada yang berdoa, di dalam kemenangan ini, ada sebahagian usaha kita yang menyumbang kepadanya.

***

“Musim boikot ni, sales aku tak sampai RM2000. Itu kiranya negatif. Malu beb nak pergi meeting,” kata seorang manager-on-duty sebuah restoran yang dilabel bersekongkol dengan rejim Zionis. Ini membetulkan sedikit persepsi awal aku tentang keberkesanan usaha boikot oleh marhaen. Itu, di sebuah tempat di Johor. Di outlet yang lain, secara spesifiknya ibu kota, sales tidak terjejas. Malah, ramai keluarga Arab pula menjadi pelanggan. Heh.

Di musim boikot, ramai yang mengikuti kempen atas dasar seruan akidah. Ini kelihatannya bagus dan separanya berhakikat tidak. Kenapakah kempen dan usaha boikot ini tidak mengajar peyokongnya tentang praktis diet yang baik? Adakah janggal jika mengaitkan sambutan kempen boikot yang baik dengan Malaysia menjuarai carta obes di rantau Asia Tenggara? Adakah suatu hari nanti, di setiap restoran dan warung akan terpampang carta kandungan nutrisi dan jumlah kalori untuk setiap makanan yang diambil? Oh, bukankah hidup untuk makan, kenapa poyo sangat.

Perjuangan menentang McD yang tidak membawa kita mengenal dan belajar dari James Oliver, Morgan Spurlock dan Tom Naughton adalah perjuangan yang rongak. Ini belum lagi meletakkan perjuangan halalan dan toyyibah ke dalam perbincangan. Perjuangan menentang industri makanan fast-food atau makan komersil ialah perjuangan menentang dominasi ekonomi, dan perjuangan tentang aturan gaya makan, menu, selera yang akan mempengaruhi gaya hidup, metabolism dan energi. Bukannya setakat mempamer jari tengah di laluan pandu-lalu, atau menggores perasaan pekerjanya dengan nasi kerabu dan teh ais ikat tepi.

Bayangkan kelucuannya, apabila sesebuah jenama yang dipercayai secara warisan, dijentik dengan status halal yang meragukan, ia memberikan kita kekecohan di tahap nasional, dibincangkan secara politikal, malah institusi agama direndahkan dan keseluruhannya menjadi poyo.

***

Di sebuah premis perniagaan, intai-intailah di sebelah dalam, sekilas megambil tahu dan menimbang; tahap kebersihan, warna water-filter, posisi letak dan semuanya dan bertanya, adakah ini halal dan toyyibah?

Mungkin suatu hari, umat Malaysia (dan dunia) ini akan belajar apa yang patut kita kenal dan lawan. Yang membawa mesej kesederhanaan, menganjur pembaziran. Yang memboikot, dan berusaha menyediakan alternatif, tidak kurang pula menyihatkan. Di akhirnya, pelajaran untuk mengambil tahu praktis diet dan nutrisi yang baik akan kembali kepada kampung halaman, di mana resepi turun temurun ranuman air tangan ibunda menjadi faveret dan baik untuk anakanda kota yang poyo ini semua.

***

Hari esok ada lagi dua kenduri. Makan makan dan makan. Sekian, menaip sambil meniarap juga sudah tidak selesa dengan perut yang semakin anjal.

19 July 2014

contengan Romadhon (ii)


Saya tak tahu dimanakah  definisi 'pasti' diantara 'yakin' dan 'percaya'. Mungkin, terselit setakat permainan linguistik sahaja. Tetapi, suatu hari, saya berada di sebuah persembahan pentas, menyaksikan seorang pakar bermain pisau yang sedang asyik mementaskan kemahirannya. Seorang pembantu berada pada jarak yang sederhana jauh sambil menjunjung sebiji epal diatas kepala. Kemudian, matanya dibalut kain. Pakar melontar pisau mula melontar. Para penonton 'percaya' bahawa pisau akan tepat mengenai epal. Dan, itulah yang terjadi. Epal itu jatuh ke lantai dengan pisau yang tertanam di badannya. Lantas, si pakar melontar pisau turun dari pentas, secara rawak menjemput salah seorang dari penonton untuk sukarela menjadi pembantu. Para penonton riuh. Tidak ada yang berani menawarkan diri sebagai sukarelawan. Sehinggalah seorang lelaki tampil kehadapan. Berdiri di posisi seperti mana pembantu sebelumnya, membalut matanya, dan meletakkan epal di atas kepalanya. Dia 'yakin'. Dia cuma 'yakin' dengan kemahiran pakar melontar pisau itu. Dan, tak diragui, pisau dilontar tepat ke epal tanpa sedikit pun menjejaskan lelaki itu.

Saya keluar dari ruangan imaginasi itu, membaca D.U.B.L.I.N; (kata penulisnya: Berjalan sahaja cara saya tahu untuk menangguhkan kebenaran), kemudian berjumpa orang-orang yang 'yakin' sambil merasai sebahagian diri ini hilang sendiri. Ah, bagaimana. Bagaimana mereka berada di tahap itu?

Dalam D.U.B.L.IN lagi,
Dalam kebosanan - jika tidak berjalan - imaginasi seorang penulis menjadi tumpul.

***

"I have never thought that Malaysia have soooo much tamar tree when I first time arrived in here. I was so amazed. But then I realized, they're not dates, they are palms." - Bro Fadi.

Perbualan kami cukup ceria. Perjalanan dari Gombak ke Bestari Jaya terasakan singkat. Diisi dengan taaruf dan hal-hal pengisian dalam program semalam. Tetapi, siapa sangka disebalik senyum dan gelaknya, Bro Fadi mengalami kehilangan beberapa anggota keluarganya dalam perang Israel - Gaza baru-baru ini. Allah ada, katanya. Allah bersama kita semua.

***


Ada beberapa orang saksi di dalam rumah yang akan menyaksikan saya bersiap untuk pergi kerja. Dari sahur, mandi, menyeterika pakaian dan merapikan diri di hadapan cermin. Memandang wajah sendiri dan meyakinkan bahawa saya menyukai kerja saya. Rakan-rakan yang lain juga akan bersahutan dan melagukan frasa ini berulang kali;
I love my job, I love my job, I love my job, I love my job, I love my job
 Motivasi pagi dan halusinasi. Akhirnya, transisi usai akhir projek. Selamat bertukar kerja, bertukar industri (kepada diri sendiri)!

***


Jarang sekali saya pergi menghadiri temuduga kerjaya. Alhamdulillah, bersyukur untuk hal-hal kebelakangan ini. Diantara banyak persoalan yang mencakupi yakin dan percaya dalam soal kerjaya, ialah kecukupan rezeki. Di saat seorang bakal majikan menanyakan tentang;

"Do you concern much about money?"

Mungkin, saya telah menipu dengan sangat baik (demi subjektiviti soalan). Membaca Tuan Direktur, berjalan memerhatikan manusia dan keterlibatan dalam organisasi yang mengurus dana sangat-sangat membantu. 

Duit akan datang dan pergi. Yang disimpan mutlak ke dalam diri ialah ilmu. Ia menambah nilai ke atas individu, dan bayaran ke atas keunikan dan speciality ilmu akan setimpal di kemudian hari. 

Begitulah jawapan yang keluar secara spontan tempoh hari. Dan sebenarnya, hakikat agama telah mengajarkan secara jelas perihal ini. Mungkin, untuk komrad yang masih dalam perjalanan dan berhenti sekejap-sekejap di persinggahan temuduga, boleh gunapakai skema ini sambil belajar benar-benar untuk mengimaninya.

***

Malam tadi, di Shah Alam semoga semua usaha dilimpahi keberkatan. Menyaksikan kutipan tabung atas nama kemanusiaan yang rancak membuatkan saya tunduk serendah-rendahnya. Mendengar dan mengikuti qunut nazilah membuatkan seluruh tubuh menggigil. Mendongak ke langit gelap dan melihat kerlipan kapal terbang yang melintas... Allah, semoga doa-doa yang umat ini lontarkan tidak tersangkut dengan bebanan dosa lampau kami. Semoga Ramadhan dimanfaati dengan kelahiran semula untuk semua.

Kata Farhan; lailatul qadr adalah sebesar-besar acara untuk manusia. Jibril dan para malaikat akan turun dalam batalion dan angka yang besar, meninggalkan Baitul Makmur kerana tumpuan rahmat Allah akan beralih ke bumi. Yang berdiri akan berdiri, yang rukuk akan rukuk, yang sujud akan sujud, yang berzikir akan berzikir. Dan beruntunglah, manusia yang bersiap sebelas bulan untuk acara ini, berbanding manusia yang menanti acara ini sebagai persediaan menempuh sebelas bulan akan datang.

***




01 July 2014

contengan Romadhon




Berdoalah dengan keyakinan agar doa kita dimakbul. Beribadahlah dengan sebenar benar berharap kepada Allah. 
- Khatib (Jubah 3 line), Nisfu Syaaban.

***

Untuk seorang Muslim dan peminat bola sepak, Ramadhan dan Piala Dunia ialah sebuah pertentangan komitmen yang besar. Bersyukurnya aku dikelilingi oleh orang-orang yang tahu apa yang dia mahu dahulukan lantas menjadikan kepincangan komitmen sebagai satu motivasi. Seorang individu dalam keluarga yang selalu tiba-tiba datang sertai menonton perlawanan bola sepak meski tayangan sudah sampai ke separuh masa kedua; berserta wudhunya yang belum kering. Beberapa komrad yang memilih untuk terus ke surau atau masjid usai perlawanan kerana dia tahu lemah upayanya takkan berjaya menjemput dua rakaat subuh jika pulang ke katil yang menggoda. Juga individu-individu hikmah yang berdiri sebagai tafsiran kerja-kerja ibadahnya dalam setiap teguran, terlindung jauh dari budaya troll yang menyentap. Ya, kelihatannya bermotif baik tetapi tanpa disedari, boleh tergelincir meremehkan mujahadah orang-orang yang tidak sekuatnya. Benar-benar aku bersyukur dapat belajar dari mereka.  

***

Aku berbual dengan Ng, seorang ateis yang sangat liberal pemikirannya dan pentamak ilmu. Dalam perbualan yang panjangnya 3 jam itu, kami sama-sama mengadaptasi perjuangan Jamie Oliver dengan bersepakat bahawa budaya Bazar Ramadhan bakal membawa kepada musibah. Pada dasarnya, aku cuma berniat mengemudi perbualan ke arah itu dan setakat itu sahaja. Tetapi ianya berlanjut kepada membincangkan inti ibadah berpuasa kepada impaknya dalam hal-hal kemanusiaan dan ketuhanan dalam bentuk seorang ateis melihat. Malah, Ng mengingatkan aku bahawa dua golongan yang paling disayang Rasulullah ialah si miskin dan si yatim, menolak pembaziran pesta makanan dan putaran ekonomi yang menjejaskan keberkesanan sistem hidup.
“Muslim should appreciate this fasting obedience. It is self-reminder; it is to appreciate what Allah and the Quran teaching by the conduct of the Prophet.”
Ayat ini keluar dari mulut seorang ateis, seorang pemerhati kepada umat beragama. Ah, aku doakan Ng menjumpai ‘fitrah suci’nya satu hari nanti. Ameen.

***

Aku suka ruang-ruang yang jauh dari hiruk pikuk sesak manusia. Tak kira sama ada terperosok di sudut dinding, di laman-laman yang tak masyhur, atau di sela-sela kosong yang sebenarnya terhimpun, kita dan sebuah wayang yang penuh kesedaran.

***

Cinta yang melarut dalam secawan kopi sudah berjawab. Sedikit masa lagi, sedikit.

***

Semoga semua kita diberi kekuatan menghidupi Ramadhan kali ini dengan sepenuh-penuh penghayatan. Ameen.