Showing posts with label aktivism. Show all posts
Showing posts with label aktivism. Show all posts

19 July 2014

contengan Romadhon (ii)


Saya tak tahu dimanakah  definisi 'pasti' diantara 'yakin' dan 'percaya'. Mungkin, terselit setakat permainan linguistik sahaja. Tetapi, suatu hari, saya berada di sebuah persembahan pentas, menyaksikan seorang pakar bermain pisau yang sedang asyik mementaskan kemahirannya. Seorang pembantu berada pada jarak yang sederhana jauh sambil menjunjung sebiji epal diatas kepala. Kemudian, matanya dibalut kain. Pakar melontar pisau mula melontar. Para penonton 'percaya' bahawa pisau akan tepat mengenai epal. Dan, itulah yang terjadi. Epal itu jatuh ke lantai dengan pisau yang tertanam di badannya. Lantas, si pakar melontar pisau turun dari pentas, secara rawak menjemput salah seorang dari penonton untuk sukarela menjadi pembantu. Para penonton riuh. Tidak ada yang berani menawarkan diri sebagai sukarelawan. Sehinggalah seorang lelaki tampil kehadapan. Berdiri di posisi seperti mana pembantu sebelumnya, membalut matanya, dan meletakkan epal di atas kepalanya. Dia 'yakin'. Dia cuma 'yakin' dengan kemahiran pakar melontar pisau itu. Dan, tak diragui, pisau dilontar tepat ke epal tanpa sedikit pun menjejaskan lelaki itu.

Saya keluar dari ruangan imaginasi itu, membaca D.U.B.L.I.N; (kata penulisnya: Berjalan sahaja cara saya tahu untuk menangguhkan kebenaran), kemudian berjumpa orang-orang yang 'yakin' sambil merasai sebahagian diri ini hilang sendiri. Ah, bagaimana. Bagaimana mereka berada di tahap itu?

Dalam D.U.B.L.IN lagi,
Dalam kebosanan - jika tidak berjalan - imaginasi seorang penulis menjadi tumpul.

***

"I have never thought that Malaysia have soooo much tamar tree when I first time arrived in here. I was so amazed. But then I realized, they're not dates, they are palms." - Bro Fadi.

Perbualan kami cukup ceria. Perjalanan dari Gombak ke Bestari Jaya terasakan singkat. Diisi dengan taaruf dan hal-hal pengisian dalam program semalam. Tetapi, siapa sangka disebalik senyum dan gelaknya, Bro Fadi mengalami kehilangan beberapa anggota keluarganya dalam perang Israel - Gaza baru-baru ini. Allah ada, katanya. Allah bersama kita semua.

***


Ada beberapa orang saksi di dalam rumah yang akan menyaksikan saya bersiap untuk pergi kerja. Dari sahur, mandi, menyeterika pakaian dan merapikan diri di hadapan cermin. Memandang wajah sendiri dan meyakinkan bahawa saya menyukai kerja saya. Rakan-rakan yang lain juga akan bersahutan dan melagukan frasa ini berulang kali;
I love my job, I love my job, I love my job, I love my job, I love my job
 Motivasi pagi dan halusinasi. Akhirnya, transisi usai akhir projek. Selamat bertukar kerja, bertukar industri (kepada diri sendiri)!

***


Jarang sekali saya pergi menghadiri temuduga kerjaya. Alhamdulillah, bersyukur untuk hal-hal kebelakangan ini. Diantara banyak persoalan yang mencakupi yakin dan percaya dalam soal kerjaya, ialah kecukupan rezeki. Di saat seorang bakal majikan menanyakan tentang;

"Do you concern much about money?"

Mungkin, saya telah menipu dengan sangat baik (demi subjektiviti soalan). Membaca Tuan Direktur, berjalan memerhatikan manusia dan keterlibatan dalam organisasi yang mengurus dana sangat-sangat membantu. 

Duit akan datang dan pergi. Yang disimpan mutlak ke dalam diri ialah ilmu. Ia menambah nilai ke atas individu, dan bayaran ke atas keunikan dan speciality ilmu akan setimpal di kemudian hari. 

Begitulah jawapan yang keluar secara spontan tempoh hari. Dan sebenarnya, hakikat agama telah mengajarkan secara jelas perihal ini. Mungkin, untuk komrad yang masih dalam perjalanan dan berhenti sekejap-sekejap di persinggahan temuduga, boleh gunapakai skema ini sambil belajar benar-benar untuk mengimaninya.

***

Malam tadi, di Shah Alam semoga semua usaha dilimpahi keberkatan. Menyaksikan kutipan tabung atas nama kemanusiaan yang rancak membuatkan saya tunduk serendah-rendahnya. Mendengar dan mengikuti qunut nazilah membuatkan seluruh tubuh menggigil. Mendongak ke langit gelap dan melihat kerlipan kapal terbang yang melintas... Allah, semoga doa-doa yang umat ini lontarkan tidak tersangkut dengan bebanan dosa lampau kami. Semoga Ramadhan dimanfaati dengan kelahiran semula untuk semua.

Kata Farhan; lailatul qadr adalah sebesar-besar acara untuk manusia. Jibril dan para malaikat akan turun dalam batalion dan angka yang besar, meninggalkan Baitul Makmur kerana tumpuan rahmat Allah akan beralih ke bumi. Yang berdiri akan berdiri, yang rukuk akan rukuk, yang sujud akan sujud, yang berzikir akan berzikir. Dan beruntunglah, manusia yang bersiap sebelas bulan untuk acara ini, berbanding manusia yang menanti acara ini sebagai persediaan menempuh sebelas bulan akan datang.

***




20 April 2014

Sabtu April & hal-hal yang tak selesai.

bismillah.

Semalam ialah hari yang panjang. Sangat panjang dengan penglibatan saya ke Bicara Klik Minda, BJ Shah Alam dan Pesta Seni Seri Setia serta mencipta dan mengikat-erat semula tali-tali silaturrahim yang longgar. 

Jaga-jaga, tulisan panjang ni.


***


Fikrah perpustakaan. 

In any conversation, I was taught, there are at least three parties: you, the other person, and the Lord. - Mitch Albom.

Saya kutip quote ini dari Have a Little Faith dalam tujuan untuk menanggap pembukaan acara di PPAS semalam. Pertama kali saya sampai ke perpustakaan yang mempunyai reka dalaman dan kelengkapan yang tip top, menggoda dan futuristik serta tidak terlihat berhantu. Bro Fazli, bukan sekadar berkongsi visi, misi dan modus operandi, tetapi mengulas tentang 'jiwa' PPAS sendiri. 

Perkongisan tentang untuk menjemput marhaen datang ke perpustakaan bukan mudah. Istimewanya, penggerak ini merupakan individu-individu yang mempunyai seni berlakon dalam dirinya. Yang mampu meletakkan jiwanya ke dalam jiwa orang-orang lain untuk memahami sedalam-dalamnya keperluan mutual dan menyalurkannya dengan medium yang baik melalui inovasi-inovasi yang kreatif. 

Masalah remaja ponteng, masalah masyarakat kurang membaca, masalah sosial anak muda, masalah perpustakaan kosong... dan bagaimana bermula mencetus kesedaran untuk inisiatif menyentuh hal-hal yang mungkin di luar skop kerja lantas memaknainya. Sehingga sampai satu tahap saya melihat potensi sebenar seorang pekerja (walau siapapun jawatannya) bukan hanya bekerja secara objektif tetapi kembali kepada hakikat kemanusiaan dengan membuka sisi-sisi subjektif selagi mana ianya bertujuan baik. 

Dan dari pihak GEMA, yang berada di jalur perjuangan yang lebih kurang serupa, saya terkagum sungguh-sungguh dengan usaha-usaha ini. Masya Allah, luar biasa hikmahnya bila kita mula berfikir dan berniat membantu untuk orang lain.


Pengisian

Rata-ratanya secara keseluruhan, saya lebih tertarik untuk berbual dengan panel kedua iaitu Bro Anas (alhamdulillah sangat mencerahkan). Saya juga bersyukur dengan ringkasan 'pembacaan massa' yang disampaikan Bro Abdullah dengan hiasan ekspresinya yang lucu. Ditambah dengan sejarah santai Muharikah dan muhasabah mengenal diri oleh dr Raudhah. 

Secara kronologinya, bermula dengan pemerkasaan komunikasi, pemahaman ekonomi, cabaran pembentukan fikrah dan proses mengenal diri untuk memilih lapangan bertindak di akhirnya bersimfoni menampung pembulatan karakteristik sebagai seorang global citizen. Kemas!

silakan - Blindspot.


Managing diversity

Saya tak sangka perkongsian Dr Harlina tentang topik ini akan menyentuh ruang-ruang courtship, karakteristik suami, isteri dan anak-anak serta perkahwinan sejenis yang bahagia dengan audiens lelaki sebagai minoriti di gelombang feminin, heh. Sangat berbunga begitu. 

Apa pun, saya tak boleh terlepas dari tiga garis asas yang awal-awal disebutkan; pertama tentang Awareness, Attitude dan Activism. Keduanya, melanjutkan perbualan saya dengan Anas tentang pendidikan sebagai penyediaan tenaga sumber manusia dengan memaksa dr Har mengorbankan waktu makan tengah harinya. ;)

Saya rangkumkan begini;

1. Beberapa hari lepas, perkongsian gambar dari keratan akhar yang bertajuk: "Gelandangan Mewah" oleh rakan aktivis sosialis gerakan pekerja.


2. Mac, artikel ini - link.

3. Ucapan seorang menteri, juga Mac - link

4. Video persembahan ini, Disember lalu - link, dan cerita di sebaliknya - link

Dan,  tak sangka petang itu isu yang sama berlantun (ulangan) dari radio dengan tajuk "Belenggu penderitaan Penghuni Chow Kit" oleh wakil KL KrashPad, Yayasan Chow Kit. Jemput dengarkan di sini - link

Masyarakat tidak inginkan kebenaran. Mereka hanya ingin dengar sebuah cerita yang menarik. - Dublin, WN Azriq.

Isu ini sahaja boleh jadi sebuah konflik yang sangat panjang. Anak panah kritikan boleh dilepaskan dari mana-mana busur secara rambang. Ada yang memukul rata gelandangan dengan anggapan rasa 'kecukupan' mereka. Ada yang menjadikan aktivism pekerja sosial sebagai faktor pendorong pemanjangan masalah. Ada yang terkejut dengan pendedahan demi pendedahan. Ada yang adil dalam penilaian dan ada juga yang kelabu. 

Terpulang bagaimana masyarakat menerima cerita-cerita ini dan membuat analisis mereka dari depan skrin. Attitude lanjutan daripada awareness ini yang memungkinkan mereka bangun dari ruang selesa dan bertindak menghasil activism.

Di akhirnya, secara personal, saya tak bersetuju jika aktiviti kebajikan dianggap menyumbang kepada pemanjangan masalah. Ada benarnya jika saya kata cetusan gerak membantu orang lain tidak lain dan tidak bukan hanyalah membantu memanusiakan diri sendiri. Maka, jika seseorang individu telah bermula ada kesedaran aktivism, saya merasakan satu saat nanti dia akan kebal menolak segala faktor-faktor luaran, malah mampu melihat ruang-ruang lompong dalam dirinya untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Aku pula hidup dalam zaman lebih banyak Tuhan daripada makhluk-makhlukNya. - Najihah.
Menilailah, seadilnya.


Sekilas, high-income nation

Wawasan 2020 cuma berbaki enam tahun lagi. Menjadi high income nation memerlukan rakyat Malaysia berupaya untuk menjana GNI per kapita melebihi USD12k. Dalam masa yang sama,  laporan Doing Business 2014 meletakkan Malaysia di tangga keenam dari 189 negara. 

Segala data ini kelihatannya sangat cantik. Ekosistem perniagaan ini tak sukar difahami. Mudahkan peluang perniagaan, rancakkan pelaburan, maka peluang pekerjaan semakin luas. Semakin ramai yang bekerja, semakin ramai lahir professional, semakin tinggi pengaliran duit dalam negara, semakin rancak trade, dan ketinggian purchasing power, semakin mudah pemberian kredit dan lain-lain.

Tetapi adakah rakyat merasa ringan atau terbeban? 

Sambil-sambil bekerja, mengikuti pertemuan dan perjumpaan bersama konsultan luar dari AGPC dan WB, menilai dan menyemak pencapaian semasa negara, saya tak terlepas dari bersoal-soal mengapakah di sebalik ranking yang bagus, kita merasa seolah-olah terkebelakang?

Semakin tinggi hutang. Semakin cair kebanjiran pekerja asing yang meliputi 2.2 juta dari keseluruhan 13 juta kaum pekerja. Juga, meneliti ketidakselarian antara kenaikan jumlah pendapatan dan kenaikan gaji serta polisi gaji yang tidak pro-pekerja. Mungkin juga menjejaskan hal-hal sederhana seperti ketidakmampuan RM1 untuk membeli lima biji epok-epok pada 2014.

Rumit.


Buku ini mungkin ada jawapan untuk sedikit sebanyak persoalan-persoalan diatas. Saya cari di Popular Amcorp Mall dan Paradigm Mall, kehabisan stok. Bestseller di Kinokuniya dan Borders. Tetapi dihentikan jualan di MPH. heh. Akhirnya saya dapat terus dari tangan penulisnya berserta signature (sanad, eh).



Homeschooling

Salah satu ciri pendidikan untuk generasi Alpha ialah kecenderungan untuk homeshooling. Yang dimaksudkan dengan homeschooling juga ialah pendidikan awal kanak-kanak. Mahu tidak mahu, dewasanya anak-anak ini, dia akan menempuhi dunia luar dengan nuansa yang sangat mencabar. 

Jadi, sewaktu saya mengutarakan soalan dengan mengaitkan bagaimana negara ini mahu menolak pekerja luar - dengan menyediakan latihan kepada rakyat sendiri - salah satu solusinya ialah penyediaan sumber manusia melalui pendidikan. 

Pesan Dr Harlina, generasi ini akan lebih ramai menjadi peneraju inovasi, bukan pekerjanya. Garis asas homeschooling ialah berkenaan dengan penekanan prinsip-prinsip dan fikrah Islami. Seterusnya menjadi pencipta ruang-ruang pekerjaan dan menerajuinya.

Mahu tak mahu, kena cerdik manage diversity. Be it, ideology diversity or religion diversity. Religion diversity yang susah tu. - Dr Harlina


Sepetang yang terbantut

Petang itu, di Tasik Shah Alam, topiknya menarik. Tentang Manifesto Komunis; memberi idea tentang relevansinya dengan keadaan kontemporari, proletariat, borjuis dan struktur ekonomi serta perjalanan penterjemahan Manifesto Komunis. Segalanya dibincangkan dalam kerangka konsep pertentangan kelas sosial.

Untuk soalan yang diajukan itu, saya agak baru dan terpinga-pinga untuk memberi jawapan perihal idea ekonomi komunis berbanding ekonomi liberal, neo-liberal atau sosialis. Cumanya, sebagai asas perbincangan, saya akan cuba baca Manifesto Komunis yang nampaknya agak ringan berbanding Das Capital itu.


Kemudian, terpaksa beredar awal, berjumpa rakan lama sepulang beliau dari Jepun. Kemudian mengheretnya mengenal acara-acara seni, nama-nama politik, dan isu-isu yang dia tak pernah tahu. 

Pelik. 

Paradoks. 

Realitinya, pelajar yang sambung belajar ke luar negara biasanya merupakan orang-orang penting di sekolah. Tetapi, mungkin disebabkan akses yang kurang, mereka jadi sangat-sangat kurang mengambil tahu tentang apa yang sepatutnya diambil tahu. Tapi bukan semua. Segelintir kecil sahaja. ;p


Pesta Seni SS15

Permainan instrumen Khottal superb! Double drummer dia, melodeons dia, electronics dia, etc... oh.

Rupanya Auburn cuma dipapar melalui video, ingatkan live.



Rafizi Ramli memang boleh jadi stand-up comedian yang bagus. Selalunya saya hadir ke perkongsiannya yang sangat analytical dan kritikal, tetapi malam itu, sisi sempoi dan sederhana sekali saat dia bercerita tentang bagaimana dia menjemput jodohnya.

heh.


***


ps: Murakami, terima kasih untuk sebahagian awal cerita April yang ini - link


30 March 2014

300314

Bismillah...
“Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu)”.
- Direkod oleh Abu Daud dan Ibn Majah daripada Abdullah bin Umar,  hadith marfu’.

Saya selesai membaca buku La Adri yang baru dirembat semalam dengan menumpang kesempatan (baca : menge-pow) BB1M adik adik. Eheh. Isinya menarik juga. Malah, bila saya bersoal-soal tentang rangkuman kontennya sebelum membeli, brader yang bertugas di booth cuma membalas; “ana laa adri”. Licik.

Di kulit belakang buku ini terpapar hadith di atas. Ada dua premis yang rasanya boleh saya kongsikan dalam tulisan ini demi menebus hiatus panjang tidak menulis di sini.

Pertamanya, pada “kitab yang berbicara”. Dan yang kedua, pada “la adri” (ketidakketahuan) itu sendiri. 


Pemalasan global 

Istilah pemalasan global yang diperkenal Amir Hamzah menerajang fakulti penaakulan semua yang hadir dalam wacana antara sahabat saya, Fazril dan beliau. Dia menekankan perihal keringnya aktivism dan perkembangan idea lahir daripada pembudayaan ilmu yang kontang oleh siswa. Saya bersetuju untuk hal yang satu ini; kita memang suka bermalas-malasan secara massa (sambil meniarap menaip).

Apa yang Raja Ahmad katakan sebagai golongan intelektual (iaitu golongan yang berada pada peringkat pengajian tertier) telah menjadi utopia. Golongan yang ini, praktisnya, sepatutnya kembali kepada masyarakat menurut Syed Hussein. Lebih malang lagi, kritikan-kritikan ini dikhusus kepada kita, secara tepat.

Bak kata Pipiyapong
Kita orang melayu mestilah malas!!!!!!!!!!!!!!!!!! 

Deep jujur.


Bengkel Leaders are Readers

Bengkel separuh hari semalam disampaikan oleh bro Yusni, penulis buku PKPIM 5 Dasawarsa dan bro Malie, seorang content analyst. Rangka pengisian bro Yusni dimulai dengan mengambil ibrah pada lima ayat pertama Surah al-Alaq.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Dalam lima ayat ini, bro Yusni menggariskan dua ‘ilmu alat’ utama yang patut dilazimi seorang Muslim. 
1. Baca (yang ditekan pada ayat pertama dan ketiga). 
2. Tulis (pada ayat keempat).

“Maka, seorang muslim itu seharusnya jiwanya ada jiwa membaca dan menulis!” kata beliau.

Contoh terjemahan jika kita tak menguasai dua ‘ilmu alat’ ini, dalam sesetengah keadaan, sesetengah kita pasrah berdoa dan meroyan tentang kezaliman yang berlaku ke atas dunia Muslim (wajar berdasarkan keadaan semasa), walhal hakikatnya kita tidak langsung mencuba untuk berjaya menyiapkan diri melalui penguasaan ilmu dan kepakaran teknikal.

 “Saya tak faham kalau seseorang graduan apabila mula bekerja, dia tidak mampu menulis emel, surat dan dokumen-dokumen rasmi” kata bro Yusni. Ketidakbolehan ini seolah-olah satu penghinaan kepada siswa. err, kfine.

Dan dalam banyak-banyak kerja untuk bermula dengan agama ini, ialah dengan membaca. Ironinya, apabila dikaitkan dengan topik kepemimpinan, amat malang jika seseorang pemimpin tidak ada budaya dan disiplin membaca yang baik. Maka, komentar yang dikeluarkan membuka ruang untuk dirinya di-troll oleh pakar-pakar jenaka di laman sosial. Contohnya, ermm. Tahu-tahulah sendiri.

Sebab, rakyat boleh menilai tahap jenaka yang ada pada setiap komentar responsif yang keluar dari mulut pemimpin. Tetapi, mereka pastinya bukan Tun M, DSAI, TGNA, Saifuddin Abd, Dr Mujahid dan sesetengah yang lain. Nama-nama ini sangat luas pembacaan dan rajin menulis dan berwacana.

Khalifah Harun ar-Rashid, semasa membuka kota Rom, pernah menolak tawaran emas untuk membebaskan tahanan, dengan meminta buku-buku dalam perpustakaan Rom pada ketika itu diterjemahkan untuk kegunaan Muslim.

Al-Farabi, bermula dengan menjaga perpustakaan seorang saudagar yang merantau. Malcolm X, menjadikan masa di penjara sebagai kapsul untuk menelaah sebelum menjadi aktivis setelah dibebaskan. Dari rahim penjara, Mein Kampf selesai ditulis Hitler, juga karya-karya Pak Pram. Semua tokoh-tokoh besar dunia yang meninggalkan legasi atau gagasan pemikiran, baik positif mahupun negatif, semuanya sangat berdisiplin dalam pembacaan dan penulisan masing-masing.


Mem'baca' konten.

Dalam perkongsian bro Mali, paling menarik perhatian apabila dia membuktikan statistik distribusi akhbar. Harian Metro yang berlogo “Akhbar No. 1 Malaysia” yang saya sangka cuma gelaran self-claimed atas tujuan publisiti, merupakan realiti.

Tetapi, akhbar online didahului oleh MalaysiaKini. Ini memperlihatkan jurang dimensi pembacaan dua golongan; golongan sebelum internet dan selepasnya.

Dalam Principle of Dictatorship, komponen Absence of Individual Liberty, ia menegaskan dua perkara; 1. Kawal media, 2. Kawal anak muda. Malah, dalam Road to Serfdom (Friedrich Hayek) mencerahkan tentang ‘kerangka perancangan’ yang berlaku kepada masyarakat. Bidang kerja anda dirancang, gaji anda dirancang, pemikiran anda dirancang, kegiatan anda dirancang, tatatertib anda dirancang. Kedua-dua pendapat ini ialah cerminan wajah yang kita lihat pada paparan media baik digital atau klasik.

Tambahnya lagi, rutin harian pengguna internet paling kerap ialah pada enjin carian (Google/Yahoo dll) untuk mencari maklumat. Seterusnya, untuk menyebarkan maklumat ke laman sosial seperti Facebook/Twitter dan lain-lain. Musibatnya, apabila masyarakat kita gagal membezakan sumber pendapat/isu yang dibincangkan lalu mengangkat sesuatu yang ‘lemah’ berbanding sesuatu ‘ahli’. Sebab itu ada papan tanda yang berbunyi; 

“Stop making stupid people famous” atau 
“Kill it before it lays eggs”

Untuk pemilihan akhbar, Bro Malie saran membaca The Edge. Dan radio, sama dengan Obefiend yang pernah lebih-kurang tweet, “the only sane radio to listen to is BFm 89.9”.


Q & A

Akhirnya, saya sempat bertukar pandangan dengan para panelis. Pertama, bagaimana menjadikan sesi bedah buku lebih menarik?

Syaratnya, bedah buku mestilah dilakukan selepas pembacaan penuh dilakukan, kulit-ke-kulit, a-hingga-z. Tidak boleh membina pendapat bersandarkan tanggapan intuisi - ‘aku-rasa penulis ni… aku-rasa plot ni…’- yang lemah dengan bacaan yang tidak selesai. Lebih baik jika kita mengambil kira latar belakang penulis, ideologinya, latar masa, keadaan politik, graf ekonomi, gambaran sosial yang menyebabkan tulisan itu terhasil. Jikalau analisis yang sebegini dianggap berat, maka cukuplah sekadar mewacanakan bahagian-bahagian yang ada keterkaitan personal dengan diri sendiri. Begitu.


Johan Radzi pernah tweet (lebih kurang) – Jika mahu mengenal seseorang, lihatlah rak bukunya.

Ini berkait antara soalan yang saya ajukan - lebih macam bertukar ulasan - isu “kualiti pembacaan”, pemilihan genre, berat atau ringan, utama atau picisan  yang ada ditulis di sini oleh ex-schoolmate saya. Respon bro Mali, dia mengaitkan tentang keperluan pengisian dan trend yang sedang rancak, semuanya berkait rapat dengan menampung keperluan Gen Y.

Generasi ini, mereka ter-bebas dari acuan kokongan klasik. Generasi kita ini ‘longgar’. ‘Cair’, tidak berstruktur. Pola politiknya, tak rigid. Pola muziknya, liar dan luas. Pola pembacaannya, hip. Semuanya telah tidak lagi terkurung dalam kerangka lama. Cuma dikhuatiri, pola teologi juga merisaukan. Malah sangat merisaukan. Sebab itu, saya pernah menuliskan di sini;
"...umat manusia yang paling ramai bukanlah Muslim dan Kristian atau Buddha dan lain lain, tetapi yang paling ramai ialah umat tidak ber’Tuhan’ walaupun dia ber’Agama"

Keadaan ini semakin keruh apabila, We favor the quick fix, from religion to nutrition.
'Nutrition' yang mengisi 'kelonggaran' ini sangatlah tidak terkawal.



Gaya kerja masa depan.

Sebulan saya mengutip pengalaman di sini. Melibatkan diri dengan department yang paling sibuk dan paling banyak ‘dipersepsikan’. Mungkin antara sebabnya, pendekatan berbeza dengan orang lain dengan ketua yang sangat bervisi. Jadual lapan-pagi-lima-petang-isnin-jumaat tak lagi berkesan untuk gen y. Pejabat sentiasa tidak dipenuhi orang. Department yang ‘mobile’, tak ber’struktur klasik’. Tidak ada yang melekatkan punggung pada kerusi. Sekejap di hq, sekejap ke cawangan lain, tiba-tiba ke selatan, ke pantai timur, pejabat arkitek, insyinur, pejabat tanah, tenaga, air. Bersepah, bercempera. Asalkan ada internet - atau sememangnya wajib - sudah boleh melakukan kerja. Rasanya, gerak kerja yang dinamik begini seolah-olah lebih jiwa dan dekat untuk generasi ini. Tidak ada lagi alasan untuk tidak ‘mengecilkan dunia’ dengan capaian yang canggih.


Nota-nota tentang rekomendasi buku

Yang dibincangkan oleh panelis Leaders are Readers.
High tech high touch. 

Yang sedang dibaca (dan baru selesai)

Jangan rasa diri dah ‘power’, kerana ‘rasa’ itu akan menutup ruang-ruang untuk menambah ‘power’. Semoga intelektual kita dibina dengan merendah ego untuk mengatakan ‘La adri’ lalu disampingkan dengan ‘Iqra’!

Baca dan bangkit!

sekian, entri bulanan. heh


31 January 2014

#soup4homeless


Memberi dan menerima
Yang landasannya keikhlasan
Yang landasannya kejujuran
Yang landasannya keimanan
Yang landasannya ketaqwaan
Adalah puncak kemuliaan manusiawi
Adalah puncak keindahan insani
Yang seluruhnya diberkati.

Petikan sajak bertajuk "Memberi dan Menerima" nukilan Shahnon Ahmad, 1994.

Penyertaan saya ke projek #soup4homeless tempoh hari ialah sebuah pelan yang tidak dirancang. Bermula dengan sebuah mesej ringkas dan menggoda akhirnya saya menemui diri saya duduk bersama-sama para gelandangan, berkongsi cerita, berperang idea dan mengisi selera.

Dilema.

Satu perkataan yang mampu merumuskan dapatan fizikal dan spiritual saya pada akhir program. Sekaligus merangkumi pemerhatian saya sepanjang kegiatan bersama pertubuhan-pertubuhan yang lain dalam misi kemanusiaan yang hampir sama.

Suasana kesukarelawanan (volunteerism) di Malaysia sebenarnya masih muda. Golongan rakyat elit mahupun sederhana yang selesa kebanyakannya memberi respons yang sangat positif terhadap kegiatan ini dari segi kesedaran kewangan. Cumanya, wakil golongan ini yang bersedia untuk menjadi penggerak masih kurang. Mungkin faktor kelapangan masa menjadi kekangan untuk mereka berpeluang melepas diri ke lapangan. Gerakan kesukarelawanan masih belum mampu menjadi gerakan yang utuh dan bertahan untuk jangka masa yang panjang seperti di negara-negara maju. Entah mengapa, saya terbayang-bayang perasaan minda yang dihenyakhentak semasa membaca buku Minda Tertawan; dan sajak pada akhir bahagian buku itu; 

Dapatkah kau menghayati kekayaan rohani, intelektual
di tengah-tengah kemiskinan
berbanding negara
yang kaya materi dan bendanya
namun miskin pemikiran dan rohaninya
hanya tubuh berpakaian kain kilat dari Korea,
Dubai dan Paris"
 
Raja Ahmad Aminullah, Disember 1996.  

Namun begitu, saya tetap yakin halatuju dan sambutan untuk kesedaran kesukarelawanan berkembang sihat.

Dilema satu, halatuju sistem pendidikan.


Sepanjang perjalanan, ada juga beberapa pihak lain yang turut sama menjalankan program serupa di sekitar Chow Kit. Maka, kami memilih untuk beroperasi di tapak diantara McD dan Terminal Bas Puduraya. Mengedarkan sup ayam beserta kuahnya, sedikit lobak dan kentang, empat keping roti dan segelas air teh O panas untuk setiap seorang. Tujuannya, memenuhi permintaan kehidupan yang paling asas, makanan.

“Kalau nak datang lagi, nanti buat pada Selasa malam Rabu. Hari lain memang ada dah orang buat, tapi yang pakcik perasan, malam Rabu semua kebulur ni. Bawaklah makanan lain sikit. Jangan buat makanan yang canggih-canggih, diorang tak makan. Macam spageti tu, mana reti makan. Kalau nak bawak yang senang buat, kos murah. Pengat pisang, bubur kacang, bubur caca…”

Tersenyum-senyum kami mendengar celoteh seorang pakcik yang menceritakan data dan pergerakan gerakan kesukarelawanan secara teliti. Segannya sebab tak mula dengan survei umum sebelum penyertaan. Mungkin segala dapatan boleh ditulis semula dalam bentuk surat dan dihantar kepada Universiti Malaya untuk memohon mereka membuat kajian dan melakukan pembentangan tentang gelandangan di peringkat nasional, ceywah.

Dilema dua, jadual dan menu!


Kami bertemu dengan beberapa individu yang unik. Mungkin juga mereka memang menanti kehadiran ‘orang luar’ sebagai tempat meluah rasa.

Muhammad.
Dia duduk sahaja dalam jarak dua meter dari meja tempat kami edarkan sup. Sewaktu barisan pertama yang beratur  telah selesai, beberapa orang daripada team kami pergi menemui Muhammad.
Dia nekad mahu ke mahkamah, menukar semula namanya dan meninggalkan Islam setelah tiga tahun penghijrahannya. Helmi, menulis dengan lebih terperinci mengenai perbualan mereka.
Lain kisahnya dengan Muhammad. Seorang Mualaf. Salah seorang yang mencicipi sup ayam kami. Sudah tiga tahun beliau menganut Islam. Namun kini dalam proses tukar kembali nama asal beliau. Mahu keluar dari agama Hanif ini katanya.

Birokrasi. Leceh. Beliau sudah tidak tahan lagi dengan jabatan dan majlis agama islam negeri yang dikatakan sedia membantu saudara baru. Namun sering tertipu oleh pegawai agama yang bermanis muka didepan menabur janji-janji di lantai. Namun janji hanya tinggal janji. Islam ini menurutnya hanya seperti sarung gula-gula. Selepas nikmat dikunyah, sarungnya dibuang. Tidak kurang juga di matanya, orang Islam ini suka bermain baton pass. Ya. Namanya pun birokrasi.

Mahu belajar solat. Imam masjid keliru.
Mahu belajar akidah. Duit jadi perlu.
Mahu belajar al-Quran. Ustad lari dulu.

“Ah, pening…! Islam buat aku pusing…, kalau tahu begini, aku benar-benar mahu keluar Islam.” Kata Mualaf itu.

Tanyaku mudah. “Abang rasa, tukar nama di Mahkamah boleh selesai masalah?”

Muhammad hanya terdiam kaku. Dalam hatinya masih ada rasa sayang dengan agama Hanif ini. Matanya mengharapkan seorang insan Muslim komited membimbing dengan serius dan fokus.

Mahu tanya lagi. Tapi sudah lari, meninggalkan kami. Kesalnya sampai begini sekali.

Terngiang-ngiang kata-katanya yang menyengat;
“You pergi JAIS, pusat Islam, masjid ka, you tengok macam mana dia layan saudara baru, baru you datang bercakap dengan aku.”

Dilema tiga, kerevelanan institusi Islam.


Albert, lain ceritanya. Seorang nasrani yang tahu serba serbi tentang Islam. Dia umpamanya sedang berada di tebing sempadan agama asalnya dan Islam, memerlukan satu loncatan padu untuk berada di lembah kebenaran. Saya terkesan dengan butir bicaranya yang cantik dengan roh penghayatan Islam.

“Why the names are The Holy Bible and The Glorious Quran? Why does they have that ‘holy’ and ‘glorious’ label.
You know, when you’re alone with the Quran in a room, you’ll cry. Not because of ‘takut’ to Allah, but because of the beauty in those words.”

Perbualan kami larut merentasi kisah keluarganya yang tidak harmoni, hubungannya dengan pihak gereja, bantuan yang dia terima, risiko penghijrahan, dan lain-lain. Dia berbeza dengan segelintir yang lain, di saat gelandangan yang lain mencari  bantuan untuk meneruskan hidup, dia bersoal-soal tentang kehidupan selepas kematian. Dia mampu berfikir tentang segala bantuan yang diterima adalah berbentuk duniawi. Dia masih mencari-cari persimpangan dalam perjalanan tauhidnya. Di akhir perbualan, Din, seorang daripada kami sengaja mengusiknya.
“Next time we met, I’m gonna call you Ahmad”
“Not in front of my mother!” balasnya.
“You believe in one and the only God?”
“Yes, I do.”
“You believe in Prophet Muhammad (p.b.u.h)?”
“His teachings are true.”

“You’re a muslim brother.”

Dia tersenyum, menggeleng. Masih berkira-kira. Usianya sudah 70-an. Memilih untuk kekal dengan agamanya kerana menghormati ibunya. Semoga beliau dikurniakan hidayah. Daripada Albert kepada Ahmad.

Dilema empat, bantuan kemanusiaan-ketauhidan.


“Dik, plastik jangan buang, aku nak.” kata seorang gelandangan. Setelah dia ambil plastik daripada kami, dia bergegas menyusun kotak menyediakan perbaringan. Kemudian datang seorang daripada mereka pula mengesot berhimpit-himpit membuka ruang yang terbatas. Sambil bergelak ketawa mereka berebut bertolak-tolak port yang digemari. Saya turut tersenyum, terhibur.

Saya berdiri disitu sejenak, cuba-cuba untuk menyelami pemikiran gelandangan lantas memahami perasaan dan mindanya sekaligus. Mereka tampak lebih senang dan tenang daripada kita yang setiap detik mencari rezeki dengan pelbagai cara. Tanpa kereta dan rumah, mereka tidak berhutang apa-apa. Mereka 'kaya-raya'. Seolah-olah, kesusahan hidup yang kita selalu canang-canangkan ialah serpihan kehidupan mereka yang telah terkikis.

Membaca Mencari Dugalia Huso, ada sebuah artikel yang mendalami permasalahan ini di peringkat pedalaman Malaysia barat. Tetapi isinya masih relevan dalam perkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh para gelandangan.

Inilah yang kita sering lihat sebagai kecacatan ketara di dalam pergerakan dakwah kita. Terlalu ramai pendakwah yang bergiat di kawasan-kawasan yang sudah cukup dengan kegiatan dan kemudahan agama, tetapi terlalu sedikit yang bersedia meredah hutan rimba untuk mengislamkan orang yang belum beragama. Lebih buruk lagi mereka mengecam dan mengkritik pihak berkuasa apabila mubaligh agama lain berjaya mempengaruhi penduduk pedalaman yang tidak beragama menyertai agama mereka.

Petikan "Kita pernah bertemu di Jannah", oleh A. Kadir Jasin

Mahu tidak mahu, mereka ialah terjemahan daripada masyarakat kita. Mereka menanti dan terus menanti bekalan bantuan ketauhidan mengenal Tuhan daripada sesiapa yang masih peduli.


19 December 2013

disember.

bismillah

jobs, 2013.

pada suatu hari yang lembab dan sejuk, hujan di luar dan di sempadan pantai timur, seorang jaka bergelar Idham; berjanggut kumis, bermisai nipis dan berimipi mendampingi Heliza Coolblog menjemput ke misi kemanusiaan bersama GPM. sebuah organisasi yang sebenarnya sangat 'dekat' dengan aku (dan GPTD) tetapi tidak pernah diturut serta secara rasmi. mengenangkan laman instagram yang dilimpahi keseronokan sahabat-sahabat berbelanja buku dan poket yang kering, ber-bookshopping bukan hal yang mampu saat ini. maka katakan; ayo eskep lagi. kononnya mengambil ibrah Al-Ankabut 20 gitu; "Mengembaralah kamu di muka bumi..."

inilah peluang untuk berehat dari realiti ruang lingkup kerdil yang disempadani facebook dan twitter. meringankan minda dengan berjaulah, dan memerhatikan manusia untuk lebih me-manusia-kan diri, dan berlepas dari kerumitan. mengenangkan bencana alam yang menimpa bahkan ditambah retorik bencana ekonomi, kehidupan akhir tahun menjadi semakin ter-duga ujian yang besar dan maha rumit. tambahan pula, aku baru selesai membaca Ahli Politik tulisan SM Zakir. berlapis-lapis hiburan satiranya dalam mengkritik umat piem dan waibi dikedua-dua belah pihak. lebih buruk lagi, hegemoni barisan yang masih memimpin pada ketika ini baru menggila dengan kenyataan dan perancangan masa depan yang mengundang sepak terajang rakyat.

"Ekonomi dan politik adalah dua wajah daripada sebuah syiling yang sama. Kedua-dua adalah kembar yang sentiasa bergerak bersama, hidup bersama, berjuang bersama dan saling mengaut keuntungan bersama."

- ahli ekonomi I (kapitalis)

lupakan dua perenggan di atas. biasalah, tersasul. dah lama tak menulis. sekarang aku kongsikan pengalaman bersama GPM di Kuantan dan Kemaman dengan gaya tulisan CheDet.

1. Menyertai misi bantuan banjir ke Kuantan dan Kemaman mengembalikan memori Maran(2008) dan Kedah(2010) untuk perjalanan yang kurang lebih serupa di bawah panji universiti. bezanya, penganjur kali ini ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan. maka, gaya pengurusan tak kurang rumitnya. lambakan dan pembanjiran sumbangan cuma diurus dengan beberapa orang staf tetap dan betul-betul bergantung kepada sokongan para sukarelawan. sepanjang berada di opis untuk persiapan awal, panggilan telefon diterima bertali arus, individu-individu rahmat bersilih ganti tiba menghantar bungkusan demi bungkusa. keadaannya, ad-hoc habis. syukurlah, ramai rakyat prihatin mahu mem-beri. dan lebih dikagumi ada zat ihsan dalam keikhlasan saat menemukan bungkusan-bungkusan rapi menyemangati Ali Imran: 92.

2. Selesai sahaja merapikan barangan yang hendak dibawa, para sukarelawan diberikan taklimat awal sebelum menyertai misi. membetulkan niat, berkerjasama berpasukan, tuntutan fardhu, keselematan, hormat dan ber-jemaah antara elemen yang ditekankan oleh Mejar Azlan sebelum bertolak ke lokasi. muka-muka baru dikaptur lekas-lekas dalam kotak memori, taaruf ringkas bersambung di dalam bas, pusat rehat dan rawat (R&R), dan lokasi penginapan. terpaksa juga membuat penegasan "sebenarnya saya bukan matluthfi" disebabkan beberapa anasir nakal yang cuba menambah variasi pada nama panggilan yang sedia ada. haha. ada juga watak-watak besar dalam bidang masing-masing yang turut serta, "Ammar" yang pada mulanya bersembunyi tentang diri masing-masing rupanya ada yang artis, perunding motivasi, pengajar renang, pelajar, imam dan bilal kategori makwe, syeikhul azhar, adik ipar, gitaris dan penganggur berjaya. eh

3. Sesampainya di lokasi, kami disajikan dengan keluhan demi keluhan penduduk dan permandangan kerosakan demi kerosakan infrastruktur. indahnya, dari wajah anak-anak yang tersenyum masih tulus terpancar harapan-harapan yang tergantung di langit Tuhan. agak susah nak tamsilkan suasana dan ketika. kisah pakcik yang berlapar dua hari kerana tersadai di labung rumah, tokey yang kerugian 30k nilai buku-buku jualan, perabot kembang yang merapuh, pak azhar yang hampa pada bantuan bersadur kepentingan politik, orang tua yang ditinggal hidup bersendirian, birokrasi di pusat penempatan, atok yang diminta diurut, barisan mangsa yang menadah sarapan, dan ruang-ruang kesukarelawanan yang tak keruan. semuanya membina rasa syukur luar biasa untuk yang tidak terkesan, sepatutnya.

4. Kerja-kerja bermula. Skop pasukan bantuan pasca banjir hanyalah sekadar penyucian infrastruktur, pengagihan barang bekalan, dan sokongan moral. ada ramai kenalan yang mengharapkan dokumentasi langsung tahap media untuk paparan kecemasan. nah, ini salah faham yang berlaku. "volunteer" bukan "jpam, bomba, tentera". ada banyak ruang bantuan yang perlu diutamakan dan secara tidak langsung mengurangkan risiko dari terjadinya hal-hal yang tidak diingini. paling kurang, setiap yang turun ke tapak kejadian mampu mengutip pengalaman individu dan keluar dari sempadan perjuangan di papan kekunci.

5. Ada banyak hal-hal yang menarik sepanjang penglibatan bersama team GPM. salah satunya, betapa kesungguhan Mejar Azlan dalam mengukuh saf setiap sukarelawan untuk sentiasa ber-jemaah. tanpa sangka, di masjid Geliga, hujan turun dengan lebat setelah perjalanan hari sebelumnya cerah dan terik. kerisauan menggundah. dan Imam melantun "...wasjudi warka'i ma'a raki'in" Ali Imran ayat 43. aku gemar pembawaan anjuran berjemaah dalam ayat ini dengan pesan Mejar. ataupun sewajarnya berbunyi songsang begini; aku gemar pesan Mejar yang selari dengan anjuran berjemaah dalam ayat ini. sebuah kesengajaan atau taufiq Tuhan? usai fajar, hujan masih menemani syuru dan dhuha. kelihatan syeikhul azhar(salah seorang sukarelawan) sedang asyik bertilawah, dan keterujaan melihatnya buat aku capai dan randomisasi bacaan. betul-betul bukaan itu jatuh pada Yunus 22-24. tanpa mahir bahasa syurga, tanpa tafsir di sisi, tetapi cuma sekadar mampu untuk mengenal perkataan yang membawa maksud kepada angin kencang, golongan bersyukur, bencana, hujan, dan langit sudah cukup untuk meninggalkan tanda baca supaya dibuat semakan semula. nah, pagi itu semuanya te-rasa-kan-Nya!

6. Cukuplah, diakhiri laporan kali ini dengan dokumentasi video berikut.





***

terima kasih untuk buku-buku, coklat, sling bag, ucapan-ucapan, dan doa-doa sempena 16 disember lalu. terima kasih untuk mengingatkan duapuluhtiga tahun ini sudah tua kerana tak banyak menyumbang, dan masih muda kerana kering pengetahuan dan amalan.

terima kasih sekali lagi. semoga Allah memberkati kalian.

jyeah!

19 August 2013

12:00, momen akhir.

projek panas badan pecah lemak oleh susuk sepuluh jejaka kental, mencipta momen mentadabbur alam menggulir peluh sebagai kias menutup episod kampus dan rencah hidup kotaraya.

dan dalam ke-jerebu-an cinta dan kasih ummat, kami masih mahu peduli.



















 






#pray4Egypt #r4bia dari puncak Tabur, Melawati.


full album - #TaburRaya

***

tribute untuk arwah Nadia Zahari, mohon rakan-rakan like dan kongsikan projek da'wah terakhir beliau di page - Jom Solat. semoga menjadi bekalan jariah untuk arwah di sana. sentiasa. Al-Fatihah.