19 December 2013

disember.

bismillah

jobs, 2013.

pada suatu hari yang lembab dan sejuk, hujan di luar dan di sempadan pantai timur, seorang jaka bergelar Idham; berjanggut kumis, bermisai nipis dan berimipi mendampingi Heliza Coolblog menjemput ke misi kemanusiaan bersama GPM. sebuah organisasi yang sebenarnya sangat 'dekat' dengan aku (dan GPTD) tetapi tidak pernah diturut serta secara rasmi. mengenangkan laman instagram yang dilimpahi keseronokan sahabat-sahabat berbelanja buku dan poket yang kering, ber-bookshopping bukan hal yang mampu saat ini. maka katakan; ayo eskep lagi. kononnya mengambil ibrah Al-Ankabut 20 gitu; "Mengembaralah kamu di muka bumi..."

inilah peluang untuk berehat dari realiti ruang lingkup kerdil yang disempadani facebook dan twitter. meringankan minda dengan berjaulah, dan memerhatikan manusia untuk lebih me-manusia-kan diri, dan berlepas dari kerumitan. mengenangkan bencana alam yang menimpa bahkan ditambah retorik bencana ekonomi, kehidupan akhir tahun menjadi semakin ter-duga ujian yang besar dan maha rumit. tambahan pula, aku baru selesai membaca Ahli Politik tulisan SM Zakir. berlapis-lapis hiburan satiranya dalam mengkritik umat piem dan waibi dikedua-dua belah pihak. lebih buruk lagi, hegemoni barisan yang masih memimpin pada ketika ini baru menggila dengan kenyataan dan perancangan masa depan yang mengundang sepak terajang rakyat.

"Ekonomi dan politik adalah dua wajah daripada sebuah syiling yang sama. Kedua-dua adalah kembar yang sentiasa bergerak bersama, hidup bersama, berjuang bersama dan saling mengaut keuntungan bersama."

- ahli ekonomi I (kapitalis)

lupakan dua perenggan di atas. biasalah, tersasul. dah lama tak menulis. sekarang aku kongsikan pengalaman bersama GPM di Kuantan dan Kemaman dengan gaya tulisan CheDet.

1. Menyertai misi bantuan banjir ke Kuantan dan Kemaman mengembalikan memori Maran(2008) dan Kedah(2010) untuk perjalanan yang kurang lebih serupa di bawah panji universiti. bezanya, penganjur kali ini ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan. maka, gaya pengurusan tak kurang rumitnya. lambakan dan pembanjiran sumbangan cuma diurus dengan beberapa orang staf tetap dan betul-betul bergantung kepada sokongan para sukarelawan. sepanjang berada di opis untuk persiapan awal, panggilan telefon diterima bertali arus, individu-individu rahmat bersilih ganti tiba menghantar bungkusan demi bungkusa. keadaannya, ad-hoc habis. syukurlah, ramai rakyat prihatin mahu mem-beri. dan lebih dikagumi ada zat ihsan dalam keikhlasan saat menemukan bungkusan-bungkusan rapi menyemangati Ali Imran: 92.

2. Selesai sahaja merapikan barangan yang hendak dibawa, para sukarelawan diberikan taklimat awal sebelum menyertai misi. membetulkan niat, berkerjasama berpasukan, tuntutan fardhu, keselematan, hormat dan ber-jemaah antara elemen yang ditekankan oleh Mejar Azlan sebelum bertolak ke lokasi. muka-muka baru dikaptur lekas-lekas dalam kotak memori, taaruf ringkas bersambung di dalam bas, pusat rehat dan rawat (R&R), dan lokasi penginapan. terpaksa juga membuat penegasan "sebenarnya saya bukan matluthfi" disebabkan beberapa anasir nakal yang cuba menambah variasi pada nama panggilan yang sedia ada. haha. ada juga watak-watak besar dalam bidang masing-masing yang turut serta, "Ammar" yang pada mulanya bersembunyi tentang diri masing-masing rupanya ada yang artis, perunding motivasi, pengajar renang, pelajar, imam dan bilal kategori makwe, syeikhul azhar, adik ipar, gitaris dan penganggur berjaya. eh

3. Sesampainya di lokasi, kami disajikan dengan keluhan demi keluhan penduduk dan permandangan kerosakan demi kerosakan infrastruktur. indahnya, dari wajah anak-anak yang tersenyum masih tulus terpancar harapan-harapan yang tergantung di langit Tuhan. agak susah nak tamsilkan suasana dan ketika. kisah pakcik yang berlapar dua hari kerana tersadai di labung rumah, tokey yang kerugian 30k nilai buku-buku jualan, perabot kembang yang merapuh, pak azhar yang hampa pada bantuan bersadur kepentingan politik, orang tua yang ditinggal hidup bersendirian, birokrasi di pusat penempatan, atok yang diminta diurut, barisan mangsa yang menadah sarapan, dan ruang-ruang kesukarelawanan yang tak keruan. semuanya membina rasa syukur luar biasa untuk yang tidak terkesan, sepatutnya.

4. Kerja-kerja bermula. Skop pasukan bantuan pasca banjir hanyalah sekadar penyucian infrastruktur, pengagihan barang bekalan, dan sokongan moral. ada ramai kenalan yang mengharapkan dokumentasi langsung tahap media untuk paparan kecemasan. nah, ini salah faham yang berlaku. "volunteer" bukan "jpam, bomba, tentera". ada banyak ruang bantuan yang perlu diutamakan dan secara tidak langsung mengurangkan risiko dari terjadinya hal-hal yang tidak diingini. paling kurang, setiap yang turun ke tapak kejadian mampu mengutip pengalaman individu dan keluar dari sempadan perjuangan di papan kekunci.

5. Ada banyak hal-hal yang menarik sepanjang penglibatan bersama team GPM. salah satunya, betapa kesungguhan Mejar Azlan dalam mengukuh saf setiap sukarelawan untuk sentiasa ber-jemaah. tanpa sangka, di masjid Geliga, hujan turun dengan lebat setelah perjalanan hari sebelumnya cerah dan terik. kerisauan menggundah. dan Imam melantun "...wasjudi warka'i ma'a raki'in" Ali Imran ayat 43. aku gemar pembawaan anjuran berjemaah dalam ayat ini dengan pesan Mejar. ataupun sewajarnya berbunyi songsang begini; aku gemar pesan Mejar yang selari dengan anjuran berjemaah dalam ayat ini. sebuah kesengajaan atau taufiq Tuhan? usai fajar, hujan masih menemani syuru dan dhuha. kelihatan syeikhul azhar(salah seorang sukarelawan) sedang asyik bertilawah, dan keterujaan melihatnya buat aku capai dan randomisasi bacaan. betul-betul bukaan itu jatuh pada Yunus 22-24. tanpa mahir bahasa syurga, tanpa tafsir di sisi, tetapi cuma sekadar mampu untuk mengenal perkataan yang membawa maksud kepada angin kencang, golongan bersyukur, bencana, hujan, dan langit sudah cukup untuk meninggalkan tanda baca supaya dibuat semakan semula. nah, pagi itu semuanya te-rasa-kan-Nya!

6. Cukuplah, diakhiri laporan kali ini dengan dokumentasi video berikut.





***

terima kasih untuk buku-buku, coklat, sling bag, ucapan-ucapan, dan doa-doa sempena 16 disember lalu. terima kasih untuk mengingatkan duapuluhtiga tahun ini sudah tua kerana tak banyak menyumbang, dan masih muda kerana kering pengetahuan dan amalan.

terima kasih sekali lagi. semoga Allah memberkati kalian.

jyeah!