Beberapa minggu lalu di suatu
sela masa diantara Maghrib dan Isya, Us Fauzi sedang bersemangat mengulas
tentang perang Gaza-Israel baru-baru ini. Seingat aku, yang paling dia tekankan
ialah bagaimana semua permintaan Hamas berjaya mendesak Israel untuk diheret
bersama ke meja perbincangan untuk kesepakatan di masa akan datang. Dia
tekankan lagi bahawasanya tentera Islam telah menang. Bantuan Allah telah
sampai. Dan kita sepatutnya meraikan peristiwa ini dengan takbir. Takbir yang
dimaksudkan bukanlah takbir dengan nada kesedihan dan kesyahduan seperti yang
dipraktis dalam kebiasaan masyarakat kita. Tetapi dia mahukan umat ini melihat semula
definisi takbir, teknik lantunan dan pengisiannya sebagai takbir kemenangan.
Dan di satu sudut, ada yang berdoa, di dalam kemenangan ini, ada sebahagian usaha
kita yang menyumbang kepadanya.
***
“Musim boikot ni, sales aku tak
sampai RM2000. Itu kiranya negatif. Malu beb nak pergi meeting,” kata seorang
manager-on-duty sebuah restoran yang dilabel bersekongkol dengan rejim Zionis. Ini
membetulkan sedikit persepsi awal aku tentang keberkesanan usaha boikot oleh
marhaen. Itu, di sebuah tempat di Johor. Di outlet yang lain, secara
spesifiknya ibu kota, sales tidak terjejas. Malah, ramai keluarga Arab pula
menjadi pelanggan. Heh.
Di musim
boikot, ramai yang mengikuti kempen atas dasar seruan akidah. Ini kelihatannya bagus
dan separanya berhakikat tidak. Kenapakah kempen dan usaha boikot ini tidak
mengajar peyokongnya tentang praktis diet yang baik? Adakah janggal jika
mengaitkan sambutan kempen boikot yang baik dengan Malaysia menjuarai carta obes
di rantau Asia Tenggara? Adakah suatu hari nanti, di setiap restoran dan warung
akan terpampang carta kandungan nutrisi dan jumlah kalori untuk setiap makanan
yang diambil? Oh, bukankah hidup untuk makan, kenapa poyo sangat.
Perjuangan menentang McD yang
tidak membawa kita mengenal dan belajar dari James Oliver, Morgan Spurlock dan
Tom Naughton adalah perjuangan yang rongak. Ini belum lagi meletakkan perjuangan halalan dan toyyibah ke dalam perbincangan. Perjuangan menentang industri makanan
fast-food atau makan komersil ialah perjuangan menentang dominasi ekonomi, dan perjuangan
tentang aturan gaya makan, menu, selera yang akan mempengaruhi gaya hidup, metabolism
dan energi. Bukannya setakat mempamer jari tengah di laluan pandu-lalu, atau
menggores perasaan pekerjanya dengan nasi kerabu dan teh ais ikat tepi.
Bayangkan kelucuannya, apabila
sesebuah jenama yang dipercayai secara warisan, dijentik dengan status halal
yang meragukan, ia memberikan kita kekecohan di tahap nasional, dibincangkan
secara politikal, malah institusi agama direndahkan dan keseluruhannya menjadi
poyo.
***
Di sebuah premis perniagaan, intai-intailah
di sebelah dalam, sekilas megambil tahu dan menimbang; tahap kebersihan, warna
water-filter, posisi letak dan semuanya dan bertanya, adakah ini halal dan
toyyibah?
Mungkin suatu hari, umat Malaysia
(dan dunia) ini akan belajar apa yang patut kita kenal dan lawan. Yang membawa
mesej kesederhanaan, menganjur pembaziran. Yang memboikot, dan berusaha menyediakan
alternatif, tidak kurang pula menyihatkan. Di akhirnya, pelajaran untuk mengambil
tahu praktis diet dan nutrisi yang baik akan kembali kepada kampung halaman, di
mana resepi turun temurun ranuman air tangan ibunda menjadi faveret dan baik
untuk anakanda kota yang poyo ini semua.
***
Hari esok ada lagi dua
kenduri. Makan makan dan makan. Sekian, menaip sambil meniarap
juga sudah tidak selesa dengan perut yang semakin anjal.
No comments:
Post a Comment