Berdoalah dengan keyakinan agar doa kita dimakbul. Beribadahlah dengan sebenar benar berharap kepada Allah.
- Khatib (Jubah 3 line), Nisfu Syaaban.
***
Untuk seorang Muslim dan peminat bola sepak, Ramadhan dan Piala Dunia ialah sebuah pertentangan komitmen yang besar. Bersyukurnya aku dikelilingi oleh orang-orang yang tahu apa yang dia mahu dahulukan lantas menjadikan kepincangan komitmen sebagai satu motivasi. Seorang individu dalam keluarga yang selalu tiba-tiba datang sertai menonton perlawanan bola sepak meski tayangan sudah sampai ke separuh masa kedua; berserta wudhunya yang belum kering. Beberapa komrad yang memilih untuk terus ke surau atau masjid usai perlawanan kerana dia tahu lemah upayanya takkan berjaya menjemput dua rakaat subuh jika pulang ke katil yang menggoda. Juga individu-individu hikmah yang berdiri sebagai tafsiran kerja-kerja ibadahnya dalam setiap teguran, terlindung jauh dari budaya troll yang menyentap. Ya, kelihatannya bermotif baik tetapi tanpa disedari, boleh tergelincir meremehkan mujahadah orang-orang yang tidak sekuatnya. Benar-benar aku bersyukur dapat belajar dari mereka.
***
Aku berbual dengan Ng, seorang ateis yang sangat liberal pemikirannya dan pentamak ilmu. Dalam perbualan yang panjangnya 3 jam itu, kami sama-sama mengadaptasi perjuangan Jamie Oliver dengan bersepakat bahawa budaya Bazar Ramadhan bakal membawa kepada musibah. Pada dasarnya, aku cuma berniat mengemudi perbualan ke arah itu dan setakat itu sahaja. Tetapi ianya berlanjut kepada membincangkan inti ibadah berpuasa kepada impaknya dalam hal-hal kemanusiaan dan ketuhanan dalam bentuk seorang ateis melihat. Malah, Ng mengingatkan aku bahawa dua golongan yang paling disayang Rasulullah ialah si miskin dan si yatim, menolak pembaziran pesta makanan dan putaran ekonomi yang menjejaskan keberkesanan sistem hidup.
“Muslim should appreciate this fasting obedience. It is self-reminder; it is to appreciate what Allah and the Quran teaching by the conduct of the Prophet.”
Ayat ini keluar dari mulut seorang ateis, seorang pemerhati kepada umat beragama. Ah, aku doakan Ng menjumpai ‘fitrah suci’nya satu hari nanti. Ameen.
***
Aku suka ruang-ruang yang jauh dari hiruk pikuk sesak manusia. Tak kira sama ada terperosok di sudut dinding, di laman-laman yang tak masyhur, atau di sela-sela kosong yang sebenarnya terhimpun, kita dan sebuah wayang yang penuh kesedaran.
Semoga semua kita diberi kekuatan menghidupi Ramadhan kali ini dengan sepenuh-penuh penghayatan. Ameen.
No comments:
Post a Comment