Malam ini hening. Muramnya Bulan,
sepinya cengkerik dan suamnya semilir. Berteman sebuah kipas dengan bunyi
usangnya merasa jeda dan membiarkan masa berlari pergi. Sepatutnya saya pergi
berjalan-jalan sekarang. Bertemu rakan-rakan dan berbual-bual tentang masa
hadapan. Mungkin juga kembali ke masa lampau. Atau, yang paling penting; keluar
dari masa sekarang. Memberi erti kehidupan dengan melihat kehidupan orang lain.
Sepatutnya.
Tetapi saya sudah banyak
berjalan. Dan saya juga telah sesat dan hilang. Serasa tidak fit into society di sesetengahnya,
dimana sahaja kawasan elitis mengasak keperluan menjadi kehendak (berdasarkan
label harganya). Tanah yang saya pijak ini semakin lama semakin hilang dengan
nama-namanya yang baru. Avenue K, South City, Nexus, Scott Garden, Encorp
Strand, Quill 9 dan banyak lagi. Tanah yang sama, dengan pemilikan total, zaman
telah bergerak dan membunuh identiti lokal. Setiap harga bukan jadi masalah di
atas nama kemajuan. Setiap reka bentuk - sama ada hadir dengan fungsi atau
tidak - cuma layak dinikmati, cukup begitu. Nilai estetik pada struktur tidak
perlu menjadi objektif.
Sebab itu, sebuah tugu dengan roh
keilmuan yang hebat dan sempurna boleh sahaja bertukar menjadi senjata purba yang telanjang. Pandangan akal saya kabur
dalam kabus dan jerebu, saya sesat dan hilang lagi di tanah yang saya amat kenali.
1 comment:
"menulis memang bukan mengeluarkan, tetapi aktivitas membobol berbagai sekat dalam diri dengan di luar dirinya, dengan apa yang menggelisahkannya sehingga mencapai kemapanan rasa untuk digelisahkan kembali." - dian nafi
tak semua orang mampu merasai kegelisahan yang semacam ini, sekalipun ada; tak semua orang pun mampu menuliskannya. cantik dan padu.
moga tak tenggelam seperti tanah yang hilang.
ps: ah, malas sign in.
Post a Comment