Bingit bunyi kenderaan membelah jalan. Teksi yang dipesan masih belum tiba. Tempat menunggu bas (dan teksi) beransur lengang. Hening dan sepi juga. Mungkin masing-masing sudah letih menunggu. Masa bergerak menghilangkan semua orang kecuali Pakcik (yang berniaga epok-epok di situ) dan Gadis.
Pakcik ceria sekali, dan Gadis membalas ramahnya. Perbualan dalam transaksi itu sebenarnya sangat normal dan biasa. Tentang keasingan dua orang yang saling bertukar wang dan makanan. Itu sahaja.
Fitrahnya, seorang insan akan menanggapi orang lain dengan kebaikan pada titik mula, sebelum mengenal dengan sebenar-benarnya. Bahkan, kebaikan hadir tidak berupa tetapi dikenang dengan indah. Mungkin, Gadis berfikir sedemikian. Atau sekurang-kurangnya, dunia Gadis memang selalu indah.
Dia tenang dan selesa dengan dirinya. Menjadi indipenden sambil meredah kota berseorangan. Gadis sudah lakukan itu banyak kali. Di dalam aktiviti hariannya, malah dalam naratif novel yang dia baca. Menjadi watak-watak yang dia suka, memijak tanah yang beribu kilometer jauhnya sambil menggaris-garis bahagian yang paling terkesan, baginya.
Sebuah teksi tiba. Pakcik tersenyum mengucap selamat seraya Gadis melangkah masuk, terus menuju destinasinya.
***
Peluh merenik lencun. Rentak jantung pantas. Cepat-cepat Gadis bingkas keluar dari teksi setelah melunas tambang. Hatinya riuh tak tenteram.
Entah kenapa, hampir setiap sudut teksi dipenuhi cermin. Setiap satunya memantulkan imej Gadis tepat ke mata pemandu teksi.
- senibong, jdt.
No comments:
Post a Comment