Saya tak tahu dimanakah definisi 'pasti' diantara 'yakin' dan 'percaya'. Mungkin, terselit setakat permainan linguistik sahaja. Tetapi, suatu hari, saya berada di sebuah persembahan pentas, menyaksikan seorang pakar bermain pisau yang sedang asyik mementaskan kemahirannya. Seorang pembantu berada pada jarak yang sederhana jauh sambil menjunjung sebiji epal diatas kepala. Kemudian, matanya dibalut kain. Pakar melontar pisau mula melontar. Para penonton 'percaya' bahawa pisau akan tepat mengenai epal. Dan, itulah yang terjadi. Epal itu jatuh ke lantai dengan pisau yang tertanam di badannya. Lantas, si pakar melontar pisau turun dari pentas, secara rawak menjemput salah seorang dari penonton untuk sukarela menjadi pembantu. Para penonton riuh. Tidak ada yang berani menawarkan diri sebagai sukarelawan. Sehinggalah seorang lelaki tampil kehadapan. Berdiri di posisi seperti mana pembantu sebelumnya, membalut matanya, dan meletakkan epal di atas kepalanya. Dia 'yakin'. Dia cuma 'yakin' dengan kemahiran pakar melontar pisau itu. Dan, tak diragui, pisau dilontar tepat ke epal tanpa sedikit pun menjejaskan lelaki itu.
Saya keluar dari ruangan imaginasi itu, membaca D.U.B.L.I.N; (kata penulisnya: Berjalan sahaja cara saya tahu untuk menangguhkan kebenaran), kemudian berjumpa orang-orang yang 'yakin' sambil merasai sebahagian diri ini hilang sendiri. Ah, bagaimana. Bagaimana mereka berada di tahap itu?
Dalam D.U.B.L.IN lagi,
Dalam kebosanan - jika tidak berjalan - imaginasi seorang penulis menjadi tumpul.
***
"I have never thought that Malaysia have soooo much tamar tree when I first time arrived in here. I was so amazed. But then I realized, they're not dates, they are palms." - Bro Fadi.
Perbualan kami cukup ceria. Perjalanan dari Gombak ke Bestari Jaya terasakan singkat. Diisi dengan taaruf dan hal-hal pengisian dalam program semalam. Tetapi, siapa sangka disebalik senyum dan gelaknya, Bro Fadi mengalami kehilangan beberapa anggota keluarganya dalam perang Israel - Gaza baru-baru ini. Allah ada, katanya. Allah bersama kita semua.
***
Ada beberapa orang saksi di dalam rumah yang akan menyaksikan saya bersiap untuk pergi kerja. Dari sahur, mandi, menyeterika pakaian dan merapikan diri di hadapan cermin. Memandang wajah sendiri dan meyakinkan bahawa saya menyukai kerja saya. Rakan-rakan yang lain juga akan bersahutan dan melagukan frasa ini berulang kali;
Motivasi pagi dan halusinasi. Akhirnya, transisi usai akhir projek. Selamat bertukar kerja, bertukar industri (kepada diri sendiri)!I love my job, I love my job, I love my job, I love my job, I love my job
***
Jarang sekali saya pergi menghadiri temuduga kerjaya. Alhamdulillah, bersyukur untuk hal-hal kebelakangan ini. Diantara banyak persoalan yang mencakupi yakin dan percaya dalam soal kerjaya, ialah kecukupan rezeki. Di saat seorang bakal majikan menanyakan tentang;
"Do you concern much about money?"
Mungkin, saya telah menipu dengan sangat baik (demi subjektiviti soalan). Membaca Tuan Direktur, berjalan memerhatikan manusia dan keterlibatan dalam organisasi yang mengurus dana sangat-sangat membantu.
Duit akan datang dan pergi. Yang disimpan mutlak ke dalam diri ialah ilmu. Ia menambah nilai ke atas individu, dan bayaran ke atas keunikan dan speciality ilmu akan setimpal di kemudian hari.
Begitulah jawapan yang keluar secara spontan tempoh hari. Dan sebenarnya, hakikat agama telah mengajarkan secara jelas perihal ini. Mungkin, untuk komrad yang masih dalam perjalanan dan berhenti sekejap-sekejap di persinggahan temuduga, boleh gunapakai skema ini sambil belajar benar-benar untuk mengimaninya.
***
Malam tadi, di Shah Alam semoga semua usaha dilimpahi keberkatan. Menyaksikan kutipan tabung atas nama kemanusiaan yang rancak membuatkan saya tunduk serendah-rendahnya. Mendengar dan mengikuti qunut nazilah membuatkan seluruh tubuh menggigil. Mendongak ke langit gelap dan melihat kerlipan kapal terbang yang melintas... Allah, semoga doa-doa yang umat ini lontarkan tidak tersangkut dengan bebanan dosa lampau kami. Semoga Ramadhan dimanfaati dengan kelahiran semula untuk semua.
Kata Farhan; lailatul qadr adalah sebesar-besar acara untuk manusia. Jibril dan para malaikat akan turun dalam batalion dan angka yang besar, meninggalkan Baitul Makmur kerana tumpuan rahmat Allah akan beralih ke bumi. Yang berdiri akan berdiri, yang rukuk akan rukuk, yang sujud akan sujud, yang berzikir akan berzikir. Dan beruntunglah, manusia yang bersiap sebelas bulan untuk acara ini, berbanding manusia yang menanti acara ini sebagai persediaan menempuh sebelas bulan akan datang.
***