“Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu)”.
- Direkod oleh Abu Daud dan Ibn Majah daripada Abdullah bin Umar, hadith marfu’.
Saya selesai membaca buku La Adri yang baru dirembat semalam dengan
menumpang kesempatan (baca : menge-pow) BB1M adik adik. Eheh. Isinya menarik
juga. Malah, bila saya bersoal-soal tentang rangkuman kontennya sebelum membeli,
brader yang bertugas di booth cuma membalas; “ana laa adri”. Licik.
Di kulit belakang buku ini terpapar hadith di atas. Ada dua premis
yang rasanya boleh saya kongsikan dalam tulisan ini demi menebus hiatus panjang
tidak menulis di sini.
Pertamanya, pada “kitab yang berbicara”. Dan yang kedua, pada “la
adri” (ketidakketahuan) itu sendiri.
Pemalasan global
Istilah pemalasan global yang diperkenal Amir Hamzah menerajang fakulti
penaakulan semua yang hadir dalam wacana antara sahabat saya, Fazril dan beliau.
Dia menekankan perihal keringnya aktivism dan perkembangan idea lahir daripada
pembudayaan ilmu yang kontang oleh siswa. Saya bersetuju untuk hal yang satu
ini; kita memang suka bermalas-malasan secara massa (sambil meniarap menaip).
Apa yang Raja Ahmad katakan sebagai golongan intelektual (iaitu
golongan yang berada pada peringkat pengajian tertier) telah menjadi utopia.
Golongan yang ini, praktisnya, sepatutnya kembali kepada
masyarakat menurut Syed Hussein. Lebih malang lagi, kritikan-kritikan
ini dikhusus kepada kita, secara tepat.
Bak kata Pipiyapong
Kita orang melayu mestilah malas!!!!!!!!!!!!!!!!!!
Deep jujur.
Bengkel Leaders are Readers
Bengkel separuh hari semalam disampaikan oleh bro Yusni, penulis buku
PKPIM 5 Dasawarsa dan bro Malie, seorang content analyst. Rangka pengisian bro
Yusni dimulai dengan mengambil ibrah pada lima ayat pertama Surah al-Alaq.
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Dalam lima ayat ini, bro Yusni menggariskan dua ‘ilmu alat’ utama yang
patut dilazimi seorang Muslim.
1. Baca (yang ditekan pada ayat pertama dan ketiga).2. Tulis (pada ayat keempat).
“Maka, seorang muslim itu seharusnya jiwanya ada jiwa membaca dan
menulis!” kata beliau.
Contoh terjemahan jika kita tak menguasai dua ‘ilmu alat’ ini, dalam
sesetengah keadaan, sesetengah kita pasrah berdoa dan meroyan tentang kezaliman
yang berlaku ke atas dunia Muslim (wajar berdasarkan keadaan semasa), walhal
hakikatnya kita tidak langsung mencuba untuk berjaya menyiapkan diri melalui
penguasaan ilmu dan kepakaran teknikal.
“Saya tak faham kalau seseorang graduan apabila mula bekerja, dia
tidak mampu menulis emel, surat dan dokumen-dokumen rasmi” kata bro Yusni. Ketidakbolehan
ini seolah-olah satu penghinaan kepada siswa. err, kfine.
Dan dalam banyak-banyak kerja untuk bermula dengan agama ini, ialah
dengan membaca. Ironinya, apabila dikaitkan dengan topik kepemimpinan, amat
malang jika seseorang pemimpin tidak ada budaya dan disiplin membaca yang baik.
Maka, komentar yang dikeluarkan membuka ruang untuk dirinya di-troll oleh
pakar-pakar jenaka di laman sosial. Contohnya, ermm. Tahu-tahulah sendiri.
Sebab, rakyat boleh menilai tahap jenaka yang ada pada setiap komentar
responsif yang keluar dari mulut pemimpin. Tetapi, mereka pastinya bukan Tun M,
DSAI, TGNA, Saifuddin Abd, Dr Mujahid dan sesetengah yang lain. Nama-nama ini
sangat luas pembacaan dan rajin menulis dan berwacana.
Khalifah Harun ar-Rashid, semasa membuka kota Rom, pernah menolak
tawaran emas untuk membebaskan tahanan, dengan meminta buku-buku dalam
perpustakaan Rom pada ketika itu diterjemahkan untuk kegunaan Muslim.
Al-Farabi, bermula dengan menjaga perpustakaan seorang saudagar yang
merantau. Malcolm X, menjadikan masa di penjara sebagai kapsul untuk menelaah
sebelum menjadi aktivis setelah dibebaskan. Dari rahim penjara, Mein Kampf
selesai ditulis Hitler, juga karya-karya Pak Pram. Semua tokoh-tokoh besar
dunia yang meninggalkan legasi atau gagasan pemikiran, baik positif mahupun
negatif, semuanya sangat berdisiplin dalam pembacaan dan penulisan
masing-masing.
Mem'baca' konten.
Dalam perkongsian bro Mali, paling menarik perhatian apabila dia
membuktikan statistik distribusi akhbar. Harian Metro yang berlogo “Akhbar No.
1 Malaysia” yang saya sangka cuma gelaran self-claimed atas tujuan publisiti,
merupakan realiti.
Tetapi, akhbar online didahului oleh MalaysiaKini. Ini memperlihatkan
jurang dimensi pembacaan dua golongan; golongan sebelum internet dan
selepasnya.
Dalam Principle of Dictatorship, komponen Absence of Individual Liberty, ia menegaskan dua perkara; 1. Kawal
media, 2. Kawal anak muda. Malah, dalam Road to Serfdom (Friedrich Hayek) mencerahkan
tentang ‘kerangka perancangan’ yang berlaku kepada masyarakat. Bidang kerja
anda dirancang, gaji anda dirancang, pemikiran anda dirancang, kegiatan anda
dirancang, tatatertib anda dirancang. Kedua-dua pendapat ini ialah cerminan wajah yang kita lihat
pada paparan media baik digital atau klasik.
Tambahnya lagi, rutin harian pengguna internet paling kerap ialah pada
enjin carian (Google/Yahoo dll) untuk mencari
maklumat. Seterusnya, untuk menyebarkan
maklumat ke laman sosial seperti Facebook/Twitter dan lain-lain. Musibatnya,
apabila masyarakat kita gagal membezakan sumber pendapat/isu yang dibincangkan lalu
mengangkat sesuatu yang ‘lemah’ berbanding sesuatu ‘ahli’. Sebab itu ada papan
tanda yang berbunyi;
“Stop making stupid people famous” atau“Kill it before it lays eggs”
Untuk pemilihan akhbar, Bro Malie saran membaca The Edge. Dan radio, sama dengan
Obefiend yang pernah lebih-kurang tweet, “the only sane radio to listen to is
BFm 89.9”.
Q & A
Akhirnya, saya sempat bertukar pandangan dengan para panelis. Pertama,
bagaimana menjadikan sesi bedah buku lebih menarik?
Syaratnya, bedah buku mestilah dilakukan selepas pembacaan penuh dilakukan, kulit-ke-kulit, a-hingga-z. Tidak boleh
membina pendapat bersandarkan tanggapan
intuisi - ‘aku-rasa penulis ni… aku-rasa plot ni…’- yang lemah dengan
bacaan yang tidak selesai. Lebih baik jika kita mengambil kira latar belakang penulis, ideologinya, latar masa,
keadaan politik, graf ekonomi, gambaran sosial yang menyebabkan tulisan itu
terhasil. Jikalau analisis yang sebegini dianggap berat, maka cukuplah sekadar
mewacanakan bahagian-bahagian yang ada keterkaitan
personal dengan diri sendiri. Begitu.
Johan Radzi pernah tweet (lebih kurang) – Jika mahu mengenal seseorang,
lihatlah rak bukunya.
Ini berkait antara soalan yang saya ajukan - lebih macam bertukar
ulasan - isu “kualiti pembacaan”, pemilihan genre, berat atau ringan, utama atau picisan yang ada ditulis di sini oleh
ex-schoolmate saya. Respon bro Mali, dia mengaitkan tentang keperluan pengisian
dan trend yang sedang rancak, semuanya berkait rapat dengan menampung keperluan
Gen Y.
Generasi ini, mereka ter-bebas dari acuan kokongan klasik. Generasi
kita ini ‘longgar’. ‘Cair’, tidak berstruktur. Pola politiknya, tak rigid. Pola
muziknya, liar dan luas. Pola pembacaannya, hip. Semuanya telah tidak lagi terkurung
dalam kerangka lama. Cuma dikhuatiri, pola teologi juga merisaukan. Malah
sangat merisaukan. Sebab itu, saya pernah menuliskan di sini;
"...umat manusia yang paling ramai bukanlah Muslim dan Kristian atau Buddha dan lain lain, tetapi yang paling ramai ialah umat tidak ber’Tuhan’ walaupun dia ber’Agama"
Keadaan ini semakin keruh apabila, We favor the quick fix, from religion to nutrition.
'Nutrition' yang mengisi 'kelonggaran' ini sangatlah tidak terkawal.
Gaya kerja masa depan.
Sebulan saya mengutip pengalaman di sini. Melibatkan diri dengan
department yang paling sibuk dan paling banyak ‘dipersepsikan’. Mungkin antara
sebabnya, pendekatan berbeza dengan orang lain dengan ketua yang sangat
bervisi. Jadual lapan-pagi-lima-petang-isnin-jumaat tak lagi berkesan untuk gen
y. Pejabat sentiasa tidak dipenuhi orang. Department yang ‘mobile’, tak ber’struktur
klasik’. Tidak ada yang melekatkan punggung pada kerusi. Sekejap di hq, sekejap
ke cawangan lain, tiba-tiba ke selatan, ke pantai timur, pejabat arkitek,
insyinur, pejabat tanah, tenaga, air. Bersepah, bercempera. Asalkan ada
internet - atau sememangnya wajib - sudah boleh melakukan kerja. Rasanya, gerak kerja yang dinamik begini seolah-olah
lebih jiwa dan dekat untuk generasi ini. Tidak ada lagi alasan untuk
tidak ‘mengecilkan dunia’ dengan capaian yang canggih.
Nota-nota tentang rekomendasi buku
Yang dibincangkan oleh panelis Leaders are
Readers.
High tech high touch.
High tech high touch.
Yang sedang dibaca (dan baru selesai)
Jangan rasa diri dah ‘power’, kerana ‘rasa’ itu akan menutup
ruang-ruang untuk menambah ‘power’. Semoga intelektual kita dibina dengan
merendah ego untuk mengatakan ‘La adri’ lalu disampingkan dengan ‘Iqra’!
Baca dan bangkit!
sekian, entri bulanan. heh