24 September 2015

Salam Aidil Adha 1435h

12 September 2015

“Wherever you are, I will find you and I will bring you home.”



bismillah

hujung minggu yang lalu aku bercadang nak belajar menunggang kuda anjuran GPTD. malangnya, selain dari lupa mendaftar, aku juga terpaksa bekerja di luar kawasan. kah!

jadi, aku kongsikan tulisan tentang menengok filem kuda perang. aci?
***

WAR HORSE (2011)

Selepas menonton War Horse (2011) aku merasakan kuda ialah haiwan yang sama comelnya dengan kucing. Mungkin bunyinya pelik, tapi aku akan terangkan kemudian. Terlebih dahulu, mari kita renungkan perihal kuda perang didalam Al-Quran melalui lima ayat pertama Surah Al-Aadiyat.

“Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh. Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh.” [Al-Aadiyat 1-5]

Secara umum, kuda terserlah dengan karakternya yang liar, angkuh dan gagah. Bezanya jauh sekali dengan kucing yang jinak, manja dan comel. Malah, jika di zoo, hendak menyentuh kuda sekalipun membuatkan seseorang itu teragak-agak. Walaupun demikian, tahukah anda sukan berkuda merupakan sukan kegemaran Rasulullah?

“Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Maka, bagaimana ‘rasa akhir’ pengalaman menonton filem War Horse boleh menjadikan kuda sebagai haiwan yang sangat memikat?

“Most days are small days. This is a big one.”

Filem ini bermula dengan Narracott yang nekad membuat keputusan untuk membida seekor kuda lumba dengan harga yang tinggi. Tindakan ini lantas mengundang kekecewaan isterinya yang mahukan seekor haiwan bajak untuk menguruskan ladang mereka. Tetapi apabila anak remajanya Albert mula melatih dan memanggil kuda tersebut sebagai Joey, kedua-duanya menjadi akrab dan tidak dapat dipisahkan. Ironinya, hasil perladangan mereka gagal. Akibat kesempitan, Joey terpaksa dijual kepada pasukan tentera British untuk berperang di Perancis. Tragedi perang yang mendukacitakan menyebabkan Joey bertukar milik lebih dua kali di tangan orang lain. Perang berlanjutan sehingga empat tahun kemudian, dalam satu serangan antara British dan German, Joey didapati terperangkap dengan kawat berduri di tengah-tengah medan perang. Peristiwa ini menemukan semula Joey dan tuannya, Albert yang merupakan seorang prebet ketika itu.


Konsep peperangan dalam Islam.

Idea penceritaan perang melalui perspektif seekor kuda dalam filem ini sangat menarik. Ia membentuk ‘cara pandang’ penonton menjadi ‘neutral’ dan ‘terbebas’ dari persoalan-persoalan utama yang mendasari punca peperangan. Justeru, filem ini berdiri sendiri sebagai satu institusi yang mencorak falsafah anti-perang.

Dalam Islam, peperangan cuma berlaku atas sebab-sebab tertentu. Sebelum peristiwa Hijrah, umat Islam mendahulukan kesabaran demi mengelakkan konfrontasi meski mereka ditindas dan dianiaya oleh golongan musyrikin.

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” [Al-Hajj 39]

Penurunan ayat ini bermakna Kaum Muslimin tidak lagi dituntut menjadi defensif secara pasif. Kebenaran ‘perlawanan bersenjata’ dinyatakan sebagai keperluan untuk melawan penindasan dan penjajahan. Namun begitu, keseimbangan dalam perang disampingkan melalui suruhan perdamaian sebagai prioriti.

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah...” [Al-Anfal 61]
  

“The war is taking everything, from everyone.” – Askar German.

Kata-kata ini menggambarkan realiti peperangan yang sangat menyakitkan. Demi menghalalkan peperangan, pejuang yang gugur bertambah. Kerosakan terlihat di mana-mana. Kesedihan mangsa perang tak terubat. Hasil tanaman dan haiwan ternakan dirampas.

Berbeza sekali dengan etika peperangan yang dianjurkan dalam Islam. Asasnya, tentera Muslim diingatkan sama sekali untuk menjaga dan memelihara  hak-hak manusia, khususnya hak hidup, hak beragama, hak memelihara keluarga dan hak kepemilikan. Terdapat perbezaan diantara orang yang boleh diperangi dan rakyat biasa yang tidak boleh diperangi. Firman Allah:

“Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu...” [Al-Baqarah 194]

Dalam artikel bertajuk Merdeka: Antara Penghayatan dan Acara Tahunan tulisan Dr Asri Zainul Abidin mencerahkan tentang konsep ‘pembukaan kota’ usai peperangan;

“…apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami.”


“Wherever you are, I will find you and I will bring you home.”- Albert

Hakikatnya, sangat sukar untuk kita ‘merelakan’ sesuatu yang hak. Tetapi, ‘reaksi’ ke atas ‘kehilangan’ ini jika ditangani dengan gaya berbeza, akan melahirkan hasil yang berbeza. Contohi Albert. Saat kudanya dijual, dia serta-merta menawarkan dirinya sebagai sukarelawan. Tetapi, hasratnya ditolak kerana dia tidak memenuhi batasan. Justeru, dia mempersiapkan dirinya dan menyertai tentera empat tahun kemudian. Akhirnya ini membawa kepada pertemuannya dengan Joey, lantas memenuhi sebuah janji yang dimeterai dulu.

Kesimpulannya, saga romantis seorang remaja dengan kudanya ini disadur cemerlang dengan nilai humanis selari dengan ajaran Islam. Bagi aku, umumnya, pelbagai pengajaran boleh kita teladani melalui filem jika ditonton dalam acuan tasawwur Islami,

Akhir kata, seperti yang aku sebutkan di perenggan awal, menonton filem ini pasti menjemput rasa ingin mencuba sukan berkuda, pasti!

***

tulisan ini tersiar di MJ isu 25
eceh, "tersiar" tak tahan tu.