Sempena pasca-graduasi ni, abang mulakan entri blog tahun ini dengan topik self-help. Menengokkan fenomena bola sepak tempatan yang semakin sihat dan FAM yang semakin uzur, abang rasa menulis entri ilmiah serupa ini boleh pergi jauh demi menambah seri statistik kunjungan ke blog ini.
Sebagai bekas kapten Kezek FC yang menyandang posisi pertahanan, satu perkara yang diimani oleh barisan pertahanan ialah;
First tackle is the hardest tackle (FTiTHT)
Begini, konsep sliding tackle atau bentesan adalah asas untuk menumpaskan penyerang yang licik dan pantas. Kebanyakan penyerang yang handal biasanya mengambil risiko melepasi barisan pertahanan secara bersendirian sementara menunggu sokongan rakan sepasukan yang lain. Abang percaya ramai jurulatih di luar sana menyarankan anak buah pertahanan mereka supaya berhati-hati dan berada pada jarak sedepa lantas menutup ruang apabila berhadapan dengan penyerang serupa ini.
Itu semua meletihkan. Umpamanya membandingkan keberkesanan mengutip sampah seseorang cleaner yang menggunakan jari atau mengautnya sekaligus menggunakan penyapu ke dalam penyodok. Terang lagi bersuluh, menggunakan penyapu menyenangkan. Bentes!
Bentesan FTiTHT mestilah dilakukan di awal permainan dengan merebahkan badan, memukul rata bola dan penyerang sekaligus dengan kejam. Paling afdhol, ianya dilaksanakan pada pertemuan pertama satu lawan satu antara pertahanan dan penyerang. Pergaduhan, kecederaan, kerosakan but, rumput terbang, kegilaan penyokong, syaitan bertepuk tangan dan lain-lain hal kira lain kali.
Impak positif FTiTHT ialah ianya membina satu penguasaan superioriti awal kepada mental penyerang. InsyaAllah, kalau dapat sekali bentes penyerang itu sampai ke sudah 90 minit perlawanan dia tak berani menggelecek pertahanan atau mencari alternatif lain dan main serupa caca merba. Lantas beliau akan menjadi lelucon di portal maya dan dinikmati secara berjemaah.
Sebagai contoh, individu pakar FTiTHT ialah Fahmi Baihaqi di peringkat Mustangs, Shakir Shaari di peringkat Liga Super, Paolo Maldini di peringkat antarabangsa dan lain-lain. Kelajuan, kekentalan, ketepatan bentesan dan kekuatan pressing yang agresif dan persuasif menjadikan mereka monster di atas padang dengan superioriti dominan ke atas penyerang pihak lawan. Tak dinafikan juga, fokus pemain pakar FTiTHT ialah penyerang pihak lawan dan ruang, bukan lagi bola, haha.
Realiti
Di alam pekerjaan, kita boleh perhatikan gaya pengurusan seseorang bos ataupun staf senior yang sengaja memberi tekanan kepada pekerja-pekerja baru atau praktikal adalah perkara normal. Ini semua dihalalkan dengan terma kata ‘pelatih’. Di kem PLKN juga, gaya pengurusan staf latihan dan jurulatih juga boleh tahan intense. Di sekolah berasrama, persatuan, kuliah dan di mana-mana sahaja, sebagai seorang yang baru atau junior akan mengalami perasaan seorang penyerang yang signifikan sebagai orang baru.
Di sinilah kita melihat FTiTHT dilaksanakan dengan pelbagai cara. Baik buruknya pelaksanaan FTiTHT bergantung kepada tahap pengadilan moraliti ataupun naluri manusia. Kalau bentesan dilakukan tanpa rasional dan hikmah, sampai kena ‘kad merah’, memang bermusuh tujuh keturunanlah ummat engkorang.
Abang bagi contoh di sekolah. Seorang guru praktikal ialah umpama makanan bagi otai/taiko tahu. Jadi, di hari pertama bertugas sebagai guru praktikal, rajin-rajinlah menengok senarai nama para otai dengan kerjasama guru disiplin. Sediakan sebuah perlawanan antara engkorang dan mereka melalui tugasan akademik.
Masuk je waktu PnP, perhati dan kenal pasti si otai. Panggil dia ke depan, uji dia dan baca responnya. Kalau kurang wajar sikapnya, terajang dia laju-laju ke udara. Esok lusa, insyaAllah dia tak pijak kepala engkorang. Untung-untung dia jadi pelajar cemerlang. Bak kata Ustaz Abdullah Khairi, terajang pelajar sampai ke London dia mengaji. Gitu.
Minggu lepas, dalam pengajian bersama seorang Syeikh yang hebat, hadirin dikejutkan apabila melihat pertama kali Syeikh membentes semasa kuliah. Puncanya ada dua brader sedang syok ngobrol bergelak tawa di bahagian belakang sehingga Syeikh terpaksa berhenti bersyarah dan menengking pinta brader tersebut keluar majlis. Katanya;
“ada berapa ramai sahabat-sahabat kita di sini telah dirahmati, diampuni dosanya, ditemani para malaikat sepanjang majlis tetapi dirosakkan dengan ngobrolan kamu yang tidak hormat kepada majlis. demi Allah kalau kamu berada di tempatku, kamu akan tersinggung.”
Deep
Mengatasi bentesan.
Seorang penyerang dilazimi dengan kepantasan, kepemudaan, kelicikan, dan stamina yang unggul yang bertugas untuk mencetak gol. Secara tak langsung seorang penyerang adalah simbol perubahan dalam sesuatu perlawanan.
Penyerang yang handal sudah semestinya bijak memperdayakan pertahanan lawan meski dia berhadapan dengan pakar bentesan. Berjaya atau tertewas pada pertemuan pertama tidak semestinya menjamin kejayaan pada pertemuan berikutnya sepanjang perlawanan. Sama ada dia akan bermain dengan lebih berhati-hati atau berkerja keras walaupun dibentes berkali-kali. Yang paling penting, dia mestilah berusaha merangka serangan dan menyumbat gol demi mengubah keputusan perlawanan.
Kesimpulan
Worldview seorang pemain mahupun penggemar bola sepak boleh mempengaruhi hal-hal reaksonari dalam setiap keputusan hidupnya. Sekalipun dia seorang pemain yang dilabel bangang abadi oleh portal sukan yang lain, sekali menyumbat gol mampu mengubah segalanya.
Membentes dan memperdaya!
Epilog
Kezek FC telah dibubarkan, para pemainnya bersepah-sepah ke pasukan lain. Yang menyedihkan, sebilangan besar mereka berhenti bermain bola dan menjadi boroi.
No comments:
Post a Comment