25 September 2016

diam, manis. #GiDerakBoh



“Perempuan selalu nyaman di dekatnya. Dia akan menyuruh satu dunia menunggu demi mendengarkan sebaris keluh kesah. Karena kekuatan terbesar manusia bukan pada berlari, tapi diam.” 
- Budhha Bar, Dee.


Di hadapan kami terhidang tiga bungkus nasi berlauk, teh tarik dan segugus perbualan intim sebelum disertai seorang wanita pertengahan usia. Ramah orangnya, molek sekali berhias perkakas malah lembut dan teratur bicaranya. Dibuka perbualan sedari masalah hutang hingga kes mahkamah seorang pelajar tahfiz yang meninggal dunia beberapa tahun lepas. Aku tak sangka wanita ini merupakan ibu kepada mangsa. Sejak dua tahun yang lalu, sehingga kini masih hidup bersoal-soal tentang pemergian anaknya. Apakah benar si anak memilih untuk menamatkan riwayat? Apakah berlaku jenayah? Dari berat merintih material sehingga merenik perasaan lewat air matanya. Aku terdiam sehingga beliau berlalu pergi.

Dari sekecil-kecil hal sehingga sebesar-besar hal kehidupan, khilaf fiqh, transaksi muamalat dan lain-lain, Tok Ime Rosli yang aku jumpa tempoh hari mengajar erti “diam”. Sekalipun Dee mengungkapkan “diam” sebagai kata “dengar” secara psikologi perhubungan, aku menyaksikan Tok Ime sebagai peran penting dalam komuniti dengan berkemahiran “diam” sebelum memberi pendapat, meski pendapat tidak semestinya memberi erti, biarpun cantik atau buruk, cerdik atau dungu, terpulang sesiapa yang mahu menerima mahupun menolaknya. Sejak Subuh sampai hampir Zuhur beliau melayani tetamu yang meminta nasihat atau mengadu masalah. Secara tak langsung, apa sahaja masalah akan kelihatan ringan apabila kita mendengar. Termasuklah aku, yang datang jauh, jauh dari rutin realiti untuk lantas bersyukur, bertenang dan berfikir.


“Setiap orang memberi apa yang dimilikinya. Perajurit memberi tenaga, pedagang memberi barangan, guru memberi pelajaran, petani memberi padi, nelayan memberi ikan.”
“Baiklah, dan sekarang apa yang hendak awak berikan? Apa yang telah awak pelajari yang boleh awak berikan?”
“Aku boleh berfikir, aku boleh menunggu, aku boleh berpuasa.”
- Siddhartha, Hermann Hesse.


Kelantan mengajarkan aku pelbagai hikmah dalam bentuk dan isi. Kali pertama dahulu aku sampai di sini dalam misi bantuan pasca banjir. Kali ini sebagai seorang pejalan; tanpa karier, tanpa wang belanja, tanpa halatuju. Empat hari tiga malam terlunas, satu demi satu kemanisan negeri ini hadir berlapis-lapis membentuk kesyukuran tentang apa-apa lagi yang boleh aku hargai.


"Pack barang dan pergi. Kalau perancangan terlalu rapi, itu bukan travel, itu site visit!"
- Goji Bundy, Riduan A. Dullah


bacaan tambahan - MJ