“Perempuan selalu nyaman di dekatnya. Dia akan menyuruh satu dunia menunggu demi mendengarkan sebaris keluh kesah. Karena kekuatan terbesar manusia bukan pada berlari, tapi diam.”
- Budhha Bar, Dee.
Di hadapan kami terhidang tiga
bungkus nasi berlauk, teh tarik dan segugus perbualan intim sebelum disertai
seorang wanita pertengahan usia. Ramah orangnya, molek sekali berhias perkakas
malah lembut dan teratur bicaranya. Dibuka perbualan sedari masalah hutang
hingga kes mahkamah seorang pelajar tahfiz yang meninggal dunia beberapa tahun
lepas. Aku tak sangka wanita ini merupakan ibu kepada mangsa. Sejak dua tahun
yang lalu, sehingga kini masih hidup bersoal-soal tentang pemergian anaknya. Apakah
benar si anak memilih untuk menamatkan riwayat? Apakah berlaku jenayah? Dari
berat merintih material sehingga merenik perasaan lewat air matanya. Aku
terdiam sehingga beliau berlalu pergi.
Dari sekecil-kecil hal sehingga
sebesar-besar hal kehidupan, khilaf fiqh, transaksi muamalat dan lain-lain, Tok Ime Rosli yang aku jumpa tempoh hari mengajar erti “diam”. Sekalipun Dee
mengungkapkan “diam” sebagai kata “dengar” secara psikologi perhubungan, aku
menyaksikan Tok Ime sebagai peran penting dalam komuniti dengan berkemahiran “diam”
sebelum memberi pendapat, meski pendapat tidak semestinya memberi erti, biarpun
cantik atau buruk, cerdik atau dungu, terpulang sesiapa yang mahu menerima mahupun
menolaknya. Sejak Subuh sampai hampir Zuhur beliau melayani tetamu yang
meminta nasihat atau mengadu masalah. Secara tak langsung, apa sahaja masalah akan
kelihatan ringan apabila kita mendengar. Termasuklah aku, yang datang jauh, jauh dari rutin realiti untuk lantas bersyukur, bertenang dan berfikir.
“Setiap orang memberi apa yang dimilikinya. Perajurit memberi tenaga, pedagang memberi barangan, guru memberi pelajaran, petani memberi padi, nelayan memberi ikan.”“Baiklah, dan sekarang apa yang hendak awak berikan? Apa yang telah awak pelajari yang boleh awak berikan?”“Aku boleh berfikir, aku boleh menunggu, aku boleh berpuasa.”
- Siddhartha, Hermann Hesse.
Kelantan mengajarkan aku pelbagai
hikmah dalam bentuk dan isi. Kali pertama dahulu aku sampai di sini dalam misi
bantuan pasca banjir. Kali ini sebagai seorang pejalan; tanpa karier, tanpa
wang belanja, tanpa halatuju. Empat hari tiga malam terlunas, satu demi satu
kemanisan negeri ini hadir berlapis-lapis membentuk kesyukuran tentang apa-apa
lagi yang boleh aku hargai.
"Pack barang dan pergi. Kalau perancangan terlalu rapi, itu bukan travel, itu site visit!"
- Goji Bundy, Riduan A. Dullah
bacaan tambahan - MJ