21 July 2015
04 July 2015
Nota Romadhon #3
ra-MADA-n.
saya cuma mahu mengapung kenangan untuk sebuah hari yang
paling sibuk, paling lelah dan paling padat pada dua tahun lepas. hari itu tepatnya
3 Jun 2013 membawa makna yang besar untuk malam semalam 3 Julai 2015.
waktu berselingkuh dengan selimut dengan enak awal pagi itu
dikorbankan dengan acara duathlon di UPM. cuaca yang baik. perlumbaan yang
baik. jarak 21km tak terasa berbanding kepuasan yang merenik melalui peluh dan
tawa disamping teammates yang kental.
UPM telah saya kelilingi dengan berlari dan berbasikal.
UPM juga tempat adik saya, Hafizz belajar.
sepatutnya kami berjumpa selepas race. tetapi saya
kekurangan masa.
***
saya pulang ke Gombak untuk bersiap-siap menghadiri sebuah
walimah di Ampang. seperti biasa, puaka trafik di mrr2 melambatkan perjalanan. mujur,
saya tiba di Ampang pada waktu zuhur ketika pengantin tiba.
semasa menikmati hidangan walimah, Hafizz menelefon.
“aku kat Hospital Serdang sekarang. tangan patah. jangan
bagitahu ibu ayah dulu.”
***
saya bergegas ke Serdang semula bertemankan keletihan,
kerisauan dan sekeping tiket perlawanan Johor DT vs Pahang di Stadium Bukit
Jalil pada tarikh yang sama.
saya tiba di hospital lebih kurang jam 6 petang. pastinya,
pada waktu ini perut stadium juga sedang sesak dimasuki orang. mungkin saya
sudah patut berada di sana. mungkin saya bakal terlepas menyaksikan perlawanan
itu.
tidak.
rupanya saya tersilap.
urusan admittance telah diselesaikan
oleh kawan-kawan Hafizz.
dia ada kawan-kawan yang baik yang sangat reliable.
salah seorangnya memperkenalkan diri dengan nama; Mada.
***
hampir dua minggu saya berkampung di Serdang. ada masanya
saya bergiliran dengan Mada untuk menemani Hafizz. ada masanya kami berbual
tentang politik kampus, tentang aktivisme, tentang birokrasi, tentang Malaysia,
tentang buku, tentang pelawat yang berkunjung dan macam-macam lagi.
percayalah hospital adalah tempat sakti yang mengumpulkan
kesedihan dan kegembiraan. ia sangat sunyi. sangat sangat sunyi.
maka, percayalah dua orang yang bertemu tetapi tidak ada
sesuatu untuk berbahagi dalam perbualan mereka akan terasa kurang dihargai,
malah akan sepi.
kesepian itu terubat.
Mada jenis orang yang senang dan seronok diajak berbual. dia
ada minda yang lebih kurang sekufu dengan saya. pastilah juga kerana dia ada
rak buku dengan koleksi yang menarik.
begitulah bagaimana saya akan menghargai perbualan-perbualan
kecil dan singkat antara saya dengan Mada di sela-sela kesepian hospital.
***
beberapa bulan lepas, Hafizz bagitahu:
“ingat lagi Mada yang jaga aku kat hospital dulu. dia dah
lama senyap, budak-budak ni tak tahu apa cerita. harini dia call aku nangis
nangis, dia sakit. doktor ambil air tulang belakang, sekarang mata dia tak nampak, separuh badan lumpuh. dia tak bagi aku bagitahu budak lain.”
saya rasa macam tak percaya.
“harini doktor paksa dia sign surat mati.”
Allah.
***
sebelum ifthar semalam, Hafizz wassap gambar seseorang di
katil hospital dengan caption;
“Mada tenat. x sampai 3 hari dr. kata. esok kitorang pergi
rumah dia.”
saya berdoa yang baik-baik untuknya.
***
usai teraweh, saya cek wassap;
“Innalillah, Mada dah meninggal.”
Innalillahi wainna ilaihi raji’un.
***
pagi ini sangat dingin. hujan di luar lebat, hujan di hati
tak kurang hebat. Ya Tuhan, macam tidak percaya. saya sedang menangis mengenangkan seseorang yang belum
saya kenal seluruhnya.
saya pergi mengemas kereta dan menjumpai buku kesayangan seseorang di poket tempat duduknya. ada banyak sticky notes di bahagian sisi. ada banyak
bahagian yang dihighlight. saya buka sebahagian dan menjumpai ini;
tuesdays with Morrie pg. 51 |
tambahnya lagi;
"mungkin, Allah bagi seseorang sakit sebagai kafarah, nak cuci dosa-dosa dia sebelum meninggal dunia."
***
Alhamdulillah. Mada juga menulis di sini - link. tulisan-tulisannya tak
akan buat dia mati. tulisan-tulisannya boleh buat kita taaruf lagi. malah, dua tulisan
akhir ada kaitan dengan kematian. cukuplah ini memberitahu saya bahawa Mada direzkikan masa supaya bersedia
sebelum pergi meninggalkan kita pada Ramadan ini. Maha pengasih Allah padanya.
Semoga arwah Mada berada dalam redha Ilahi. Al-fatihah.
Subscribe to:
Posts (Atom)