pertama. terik equinoks sangat handal mendera. penderaan ini merendahkan manusia dan mengadun animalistik. tenang jadi galau, hening jadi ribut, jadi buas. asalkan keperluan seorang manusia itu dibulatkan. semudah itu sahaja. sebenarnya, kereta putih dari belakang tidak henti-henti mencucuk jaka dari belakang. jalan itu sempit dan panjang. hentian lampu trafik bertali arus. jumlah kenderaan tak kurang banyak. sesekali hon dibunyikan. sesekali dia cuba mengintai peluang untuk memintas. tapi itu tidak berlaku. keadaan tak mengizinkan. keretanya besar. jaguh dalam kelasnya. mungkin sekali memberi makna kepada status empunya. tapi semua itu tidaklah mengganggu jaka sedikitpun. kecuali daytime running light yang putih dan menyilaukan. sungguh-sungguh menyilaukan nurani.
kedua. suatu hari, bukan. suatu malam. sebuah tulisan Nietzche hadir menjadi tatapan. tetapi, yang difikirkan jaka bukannya tentang Tuhan yang mati kerana dibunuh oleh interpretasi manusia. walaupun itu tema besar filsuf ini. cumalah yang menarik ialah sebuah metafora seorang lelaki. dia menyalakan tanglung di siang hari sambil berjalan-jalan mencari Tuhan. dia sedang mencerah di dalam terang. dan dia adalah orang gila.
ketiga. hai, awak buat apa? dia memandang sambil tidak memandang. gerimis bermula. puncak aiskrim hilang bentuk kerana direnik hujan. kemudian, di bawah astaka kami berteduh. saya sedang mengecapi kebahagiaan, katanya. dengan aiskrim? ya. ini sahaja kebahagiaan yang boleh dibeli menggunakan wang, tambahnya lagi. jaka diam kesejukan dan kekeliruan. hei, awak patut beli juga kebahagiaan ini sementara menunggu kematian. tapi sekarang hujan. dingin. tidak sesuai menikmati aiskrim di waktu ini. terpulang awak. hidup ini sekali sahaja. selepas ini kita akan hilang tanpa apa-apa, nihil. oh, jaka beredar walaupun hujan. dalam kepercayaan kami, hidup di sini cuma untuk sebenar-benar hidup di sana; tersenyum.
terakhir. apakah lagi yang jaka belajar dari nyalaan lampu semasa siang, kenikmatan aiskrim di kala dingin dan seorang gila?
No comments:
Post a Comment