30 March 2014

300314

Bismillah...
“Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu)”.
- Direkod oleh Abu Daud dan Ibn Majah daripada Abdullah bin Umar,  hadith marfu’.

Saya selesai membaca buku La Adri yang baru dirembat semalam dengan menumpang kesempatan (baca : menge-pow) BB1M adik adik. Eheh. Isinya menarik juga. Malah, bila saya bersoal-soal tentang rangkuman kontennya sebelum membeli, brader yang bertugas di booth cuma membalas; “ana laa adri”. Licik.

Di kulit belakang buku ini terpapar hadith di atas. Ada dua premis yang rasanya boleh saya kongsikan dalam tulisan ini demi menebus hiatus panjang tidak menulis di sini.

Pertamanya, pada “kitab yang berbicara”. Dan yang kedua, pada “la adri” (ketidakketahuan) itu sendiri. 


Pemalasan global 

Istilah pemalasan global yang diperkenal Amir Hamzah menerajang fakulti penaakulan semua yang hadir dalam wacana antara sahabat saya, Fazril dan beliau. Dia menekankan perihal keringnya aktivism dan perkembangan idea lahir daripada pembudayaan ilmu yang kontang oleh siswa. Saya bersetuju untuk hal yang satu ini; kita memang suka bermalas-malasan secara massa (sambil meniarap menaip).

Apa yang Raja Ahmad katakan sebagai golongan intelektual (iaitu golongan yang berada pada peringkat pengajian tertier) telah menjadi utopia. Golongan yang ini, praktisnya, sepatutnya kembali kepada masyarakat menurut Syed Hussein. Lebih malang lagi, kritikan-kritikan ini dikhusus kepada kita, secara tepat.

Bak kata Pipiyapong
Kita orang melayu mestilah malas!!!!!!!!!!!!!!!!!! 

Deep jujur.


Bengkel Leaders are Readers

Bengkel separuh hari semalam disampaikan oleh bro Yusni, penulis buku PKPIM 5 Dasawarsa dan bro Malie, seorang content analyst. Rangka pengisian bro Yusni dimulai dengan mengambil ibrah pada lima ayat pertama Surah al-Alaq.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Dalam lima ayat ini, bro Yusni menggariskan dua ‘ilmu alat’ utama yang patut dilazimi seorang Muslim. 
1. Baca (yang ditekan pada ayat pertama dan ketiga). 
2. Tulis (pada ayat keempat).

“Maka, seorang muslim itu seharusnya jiwanya ada jiwa membaca dan menulis!” kata beliau.

Contoh terjemahan jika kita tak menguasai dua ‘ilmu alat’ ini, dalam sesetengah keadaan, sesetengah kita pasrah berdoa dan meroyan tentang kezaliman yang berlaku ke atas dunia Muslim (wajar berdasarkan keadaan semasa), walhal hakikatnya kita tidak langsung mencuba untuk berjaya menyiapkan diri melalui penguasaan ilmu dan kepakaran teknikal.

 “Saya tak faham kalau seseorang graduan apabila mula bekerja, dia tidak mampu menulis emel, surat dan dokumen-dokumen rasmi” kata bro Yusni. Ketidakbolehan ini seolah-olah satu penghinaan kepada siswa. err, kfine.

Dan dalam banyak-banyak kerja untuk bermula dengan agama ini, ialah dengan membaca. Ironinya, apabila dikaitkan dengan topik kepemimpinan, amat malang jika seseorang pemimpin tidak ada budaya dan disiplin membaca yang baik. Maka, komentar yang dikeluarkan membuka ruang untuk dirinya di-troll oleh pakar-pakar jenaka di laman sosial. Contohnya, ermm. Tahu-tahulah sendiri.

Sebab, rakyat boleh menilai tahap jenaka yang ada pada setiap komentar responsif yang keluar dari mulut pemimpin. Tetapi, mereka pastinya bukan Tun M, DSAI, TGNA, Saifuddin Abd, Dr Mujahid dan sesetengah yang lain. Nama-nama ini sangat luas pembacaan dan rajin menulis dan berwacana.

Khalifah Harun ar-Rashid, semasa membuka kota Rom, pernah menolak tawaran emas untuk membebaskan tahanan, dengan meminta buku-buku dalam perpustakaan Rom pada ketika itu diterjemahkan untuk kegunaan Muslim.

Al-Farabi, bermula dengan menjaga perpustakaan seorang saudagar yang merantau. Malcolm X, menjadikan masa di penjara sebagai kapsul untuk menelaah sebelum menjadi aktivis setelah dibebaskan. Dari rahim penjara, Mein Kampf selesai ditulis Hitler, juga karya-karya Pak Pram. Semua tokoh-tokoh besar dunia yang meninggalkan legasi atau gagasan pemikiran, baik positif mahupun negatif, semuanya sangat berdisiplin dalam pembacaan dan penulisan masing-masing.


Mem'baca' konten.

Dalam perkongsian bro Mali, paling menarik perhatian apabila dia membuktikan statistik distribusi akhbar. Harian Metro yang berlogo “Akhbar No. 1 Malaysia” yang saya sangka cuma gelaran self-claimed atas tujuan publisiti, merupakan realiti.

Tetapi, akhbar online didahului oleh MalaysiaKini. Ini memperlihatkan jurang dimensi pembacaan dua golongan; golongan sebelum internet dan selepasnya.

Dalam Principle of Dictatorship, komponen Absence of Individual Liberty, ia menegaskan dua perkara; 1. Kawal media, 2. Kawal anak muda. Malah, dalam Road to Serfdom (Friedrich Hayek) mencerahkan tentang ‘kerangka perancangan’ yang berlaku kepada masyarakat. Bidang kerja anda dirancang, gaji anda dirancang, pemikiran anda dirancang, kegiatan anda dirancang, tatatertib anda dirancang. Kedua-dua pendapat ini ialah cerminan wajah yang kita lihat pada paparan media baik digital atau klasik.

Tambahnya lagi, rutin harian pengguna internet paling kerap ialah pada enjin carian (Google/Yahoo dll) untuk mencari maklumat. Seterusnya, untuk menyebarkan maklumat ke laman sosial seperti Facebook/Twitter dan lain-lain. Musibatnya, apabila masyarakat kita gagal membezakan sumber pendapat/isu yang dibincangkan lalu mengangkat sesuatu yang ‘lemah’ berbanding sesuatu ‘ahli’. Sebab itu ada papan tanda yang berbunyi; 

“Stop making stupid people famous” atau 
“Kill it before it lays eggs”

Untuk pemilihan akhbar, Bro Malie saran membaca The Edge. Dan radio, sama dengan Obefiend yang pernah lebih-kurang tweet, “the only sane radio to listen to is BFm 89.9”.


Q & A

Akhirnya, saya sempat bertukar pandangan dengan para panelis. Pertama, bagaimana menjadikan sesi bedah buku lebih menarik?

Syaratnya, bedah buku mestilah dilakukan selepas pembacaan penuh dilakukan, kulit-ke-kulit, a-hingga-z. Tidak boleh membina pendapat bersandarkan tanggapan intuisi - ‘aku-rasa penulis ni… aku-rasa plot ni…’- yang lemah dengan bacaan yang tidak selesai. Lebih baik jika kita mengambil kira latar belakang penulis, ideologinya, latar masa, keadaan politik, graf ekonomi, gambaran sosial yang menyebabkan tulisan itu terhasil. Jikalau analisis yang sebegini dianggap berat, maka cukuplah sekadar mewacanakan bahagian-bahagian yang ada keterkaitan personal dengan diri sendiri. Begitu.


Johan Radzi pernah tweet (lebih kurang) – Jika mahu mengenal seseorang, lihatlah rak bukunya.

Ini berkait antara soalan yang saya ajukan - lebih macam bertukar ulasan - isu “kualiti pembacaan”, pemilihan genre, berat atau ringan, utama atau picisan  yang ada ditulis di sini oleh ex-schoolmate saya. Respon bro Mali, dia mengaitkan tentang keperluan pengisian dan trend yang sedang rancak, semuanya berkait rapat dengan menampung keperluan Gen Y.

Generasi ini, mereka ter-bebas dari acuan kokongan klasik. Generasi kita ini ‘longgar’. ‘Cair’, tidak berstruktur. Pola politiknya, tak rigid. Pola muziknya, liar dan luas. Pola pembacaannya, hip. Semuanya telah tidak lagi terkurung dalam kerangka lama. Cuma dikhuatiri, pola teologi juga merisaukan. Malah sangat merisaukan. Sebab itu, saya pernah menuliskan di sini;
"...umat manusia yang paling ramai bukanlah Muslim dan Kristian atau Buddha dan lain lain, tetapi yang paling ramai ialah umat tidak ber’Tuhan’ walaupun dia ber’Agama"

Keadaan ini semakin keruh apabila, We favor the quick fix, from religion to nutrition.
'Nutrition' yang mengisi 'kelonggaran' ini sangatlah tidak terkawal.



Gaya kerja masa depan.

Sebulan saya mengutip pengalaman di sini. Melibatkan diri dengan department yang paling sibuk dan paling banyak ‘dipersepsikan’. Mungkin antara sebabnya, pendekatan berbeza dengan orang lain dengan ketua yang sangat bervisi. Jadual lapan-pagi-lima-petang-isnin-jumaat tak lagi berkesan untuk gen y. Pejabat sentiasa tidak dipenuhi orang. Department yang ‘mobile’, tak ber’struktur klasik’. Tidak ada yang melekatkan punggung pada kerusi. Sekejap di hq, sekejap ke cawangan lain, tiba-tiba ke selatan, ke pantai timur, pejabat arkitek, insyinur, pejabat tanah, tenaga, air. Bersepah, bercempera. Asalkan ada internet - atau sememangnya wajib - sudah boleh melakukan kerja. Rasanya, gerak kerja yang dinamik begini seolah-olah lebih jiwa dan dekat untuk generasi ini. Tidak ada lagi alasan untuk tidak ‘mengecilkan dunia’ dengan capaian yang canggih.


Nota-nota tentang rekomendasi buku

Yang dibincangkan oleh panelis Leaders are Readers.
High tech high touch. 

Yang sedang dibaca (dan baru selesai)

Jangan rasa diri dah ‘power’, kerana ‘rasa’ itu akan menutup ruang-ruang untuk menambah ‘power’. Semoga intelektual kita dibina dengan merendah ego untuk mengatakan ‘La adri’ lalu disampingkan dengan ‘Iqra’!

Baca dan bangkit!

sekian, entri bulanan. heh


2 comments:

MAZA AMFOTERIK said...

La adri..bleh tak font tu dibesarkan?adakah mataku ini nmpk kecik...

faaizz d. zul said...

Dear Acap;

"CTRL" + "+" untuk tumbesaran positif
"CTRL" + "-" untuk tumbesaran negatif

tq