31 January 2014

#soup4homeless


Memberi dan menerima
Yang landasannya keikhlasan
Yang landasannya kejujuran
Yang landasannya keimanan
Yang landasannya ketaqwaan
Adalah puncak kemuliaan manusiawi
Adalah puncak keindahan insani
Yang seluruhnya diberkati.

Petikan sajak bertajuk "Memberi dan Menerima" nukilan Shahnon Ahmad, 1994.

Penyertaan saya ke projek #soup4homeless tempoh hari ialah sebuah pelan yang tidak dirancang. Bermula dengan sebuah mesej ringkas dan menggoda akhirnya saya menemui diri saya duduk bersama-sama para gelandangan, berkongsi cerita, berperang idea dan mengisi selera.

Dilema.

Satu perkataan yang mampu merumuskan dapatan fizikal dan spiritual saya pada akhir program. Sekaligus merangkumi pemerhatian saya sepanjang kegiatan bersama pertubuhan-pertubuhan yang lain dalam misi kemanusiaan yang hampir sama.

Suasana kesukarelawanan (volunteerism) di Malaysia sebenarnya masih muda. Golongan rakyat elit mahupun sederhana yang selesa kebanyakannya memberi respons yang sangat positif terhadap kegiatan ini dari segi kesedaran kewangan. Cumanya, wakil golongan ini yang bersedia untuk menjadi penggerak masih kurang. Mungkin faktor kelapangan masa menjadi kekangan untuk mereka berpeluang melepas diri ke lapangan. Gerakan kesukarelawanan masih belum mampu menjadi gerakan yang utuh dan bertahan untuk jangka masa yang panjang seperti di negara-negara maju. Entah mengapa, saya terbayang-bayang perasaan minda yang dihenyakhentak semasa membaca buku Minda Tertawan; dan sajak pada akhir bahagian buku itu; 

Dapatkah kau menghayati kekayaan rohani, intelektual
di tengah-tengah kemiskinan
berbanding negara
yang kaya materi dan bendanya
namun miskin pemikiran dan rohaninya
hanya tubuh berpakaian kain kilat dari Korea,
Dubai dan Paris"
 
Raja Ahmad Aminullah, Disember 1996.  

Namun begitu, saya tetap yakin halatuju dan sambutan untuk kesedaran kesukarelawanan berkembang sihat.

Dilema satu, halatuju sistem pendidikan.


Sepanjang perjalanan, ada juga beberapa pihak lain yang turut sama menjalankan program serupa di sekitar Chow Kit. Maka, kami memilih untuk beroperasi di tapak diantara McD dan Terminal Bas Puduraya. Mengedarkan sup ayam beserta kuahnya, sedikit lobak dan kentang, empat keping roti dan segelas air teh O panas untuk setiap seorang. Tujuannya, memenuhi permintaan kehidupan yang paling asas, makanan.

“Kalau nak datang lagi, nanti buat pada Selasa malam Rabu. Hari lain memang ada dah orang buat, tapi yang pakcik perasan, malam Rabu semua kebulur ni. Bawaklah makanan lain sikit. Jangan buat makanan yang canggih-canggih, diorang tak makan. Macam spageti tu, mana reti makan. Kalau nak bawak yang senang buat, kos murah. Pengat pisang, bubur kacang, bubur caca…”

Tersenyum-senyum kami mendengar celoteh seorang pakcik yang menceritakan data dan pergerakan gerakan kesukarelawanan secara teliti. Segannya sebab tak mula dengan survei umum sebelum penyertaan. Mungkin segala dapatan boleh ditulis semula dalam bentuk surat dan dihantar kepada Universiti Malaya untuk memohon mereka membuat kajian dan melakukan pembentangan tentang gelandangan di peringkat nasional, ceywah.

Dilema dua, jadual dan menu!


Kami bertemu dengan beberapa individu yang unik. Mungkin juga mereka memang menanti kehadiran ‘orang luar’ sebagai tempat meluah rasa.

Muhammad.
Dia duduk sahaja dalam jarak dua meter dari meja tempat kami edarkan sup. Sewaktu barisan pertama yang beratur  telah selesai, beberapa orang daripada team kami pergi menemui Muhammad.
Dia nekad mahu ke mahkamah, menukar semula namanya dan meninggalkan Islam setelah tiga tahun penghijrahannya. Helmi, menulis dengan lebih terperinci mengenai perbualan mereka.
Lain kisahnya dengan Muhammad. Seorang Mualaf. Salah seorang yang mencicipi sup ayam kami. Sudah tiga tahun beliau menganut Islam. Namun kini dalam proses tukar kembali nama asal beliau. Mahu keluar dari agama Hanif ini katanya.

Birokrasi. Leceh. Beliau sudah tidak tahan lagi dengan jabatan dan majlis agama islam negeri yang dikatakan sedia membantu saudara baru. Namun sering tertipu oleh pegawai agama yang bermanis muka didepan menabur janji-janji di lantai. Namun janji hanya tinggal janji. Islam ini menurutnya hanya seperti sarung gula-gula. Selepas nikmat dikunyah, sarungnya dibuang. Tidak kurang juga di matanya, orang Islam ini suka bermain baton pass. Ya. Namanya pun birokrasi.

Mahu belajar solat. Imam masjid keliru.
Mahu belajar akidah. Duit jadi perlu.
Mahu belajar al-Quran. Ustad lari dulu.

“Ah, pening…! Islam buat aku pusing…, kalau tahu begini, aku benar-benar mahu keluar Islam.” Kata Mualaf itu.

Tanyaku mudah. “Abang rasa, tukar nama di Mahkamah boleh selesai masalah?”

Muhammad hanya terdiam kaku. Dalam hatinya masih ada rasa sayang dengan agama Hanif ini. Matanya mengharapkan seorang insan Muslim komited membimbing dengan serius dan fokus.

Mahu tanya lagi. Tapi sudah lari, meninggalkan kami. Kesalnya sampai begini sekali.

Terngiang-ngiang kata-katanya yang menyengat;
“You pergi JAIS, pusat Islam, masjid ka, you tengok macam mana dia layan saudara baru, baru you datang bercakap dengan aku.

Dilema tiga, kerevelanan institusi Islam.


Albert, lain ceritanya. Seorang nasrani yang tahu serba serbi tentang Islam. Dia umpamanya sedang berada di tebing sempadan agama asalnya dan Islam, memerlukan satu loncatan padu untuk berada di lembah kebenaran. Saya terkesan dengan butir bicaranya yang cantik dengan roh penghayatan Islam.

“Why the names are The Holy Bible and The Glorious Quran? Why does they have that ‘holy’ and ‘glorious’ label.
You know, when you’re alone with the Quran in a room, you’ll cry. Not because of ‘takut’ to Allah, but because of the beauty in those words.”

Perbualan kami larut merentasi kisah keluarganya yang tidak harmoni, hubungannya dengan pihak gereja, bantuan yang dia terima, risiko penghijrahan, dan lain-lain. Dia berbeza dengan segelintir yang lain, di saat gelandangan yang lain mencari  bantuan untuk meneruskan hidup, dia bersoal-soal tentang kehidupan selepas kematian. Dia mampu berfikir tentang segala bantuan yang diterima adalah berbentuk duniawi. Dia masih mencari-cari persimpangan dalam perjalanan tauhidnya. Di akhir perbualan, Din, seorang daripada kami sengaja mengusiknya.
“Next time we met, I’m gonna call you Ahmad”
“Not in front of my mother!” balasnya.
“You believe in one and the only God?”
“Yes, I do.”
“You believe in Prophet Muhammad (p.b.u.h)?”
“His teachings are true.”

“You’re a muslim brother.”

Dia tersenyum, menggeleng. Masih berkira-kira. Usianya sudah 70-an. Memilih untuk kekal dengan agamanya kerana menghormati ibunya. Semoga beliau dikurniakan hidayah. Daripada Albert kepada Ahmad.

Dilema empat, bantuan kemanusiaan-ketauhidan.


“Dik, plastik jangan buang, aku nak.” kata seorang gelandangan. Setelah dia ambil plastik daripada kami, dia bergegas menyusun kotak menyediakan perbaringan. Kemudian datang seorang daripada mereka pula mengesot berhimpit-himpit membuka ruang yang terbatas. Sambil bergelak ketawa mereka berebut bertolak-tolak port yang digemari. Saya turut tersenyum, terhibur.

Saya berdiri disitu sejenak, cuba-cuba untuk menyelami pemikiran gelandangan lantas memahami perasaan dan mindanya sekaligus. Mereka tampak lebih senang dan tenang daripada kita yang setiap detik mencari rezeki dengan pelbagai cara. Tanpa kereta dan rumah, mereka tidak berhutang apa-apa. Mereka 'kaya-raya'. Seolah-olah, kesusahan hidup yang kita selalu canang-canangkan ialah serpihan kehidupan mereka yang telah terkikis.

Membaca Mencari Dugalia Huso, ada sebuah artikel yang mendalami permasalahan ini di peringkat pedalaman Malaysia barat. Tetapi isinya masih relevan dalam perkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh para gelandangan.

Inilah yang kita sering lihat sebagai kecacatan ketara di dalam pergerakan dakwah kita. Terlalu ramai pendakwah yang bergiat di kawasan-kawasan yang sudah cukup dengan kegiatan dan kemudahan agama, tetapi terlalu sedikit yang bersedia meredah hutan rimba untuk mengislamkan orang yang belum beragama. Lebih buruk lagi mereka mengecam dan mengkritik pihak berkuasa apabila mubaligh agama lain berjaya mempengaruhi penduduk pedalaman yang tidak beragama menyertai agama mereka.

Petikan "Kita pernah bertemu di Jannah", oleh A. Kadir Jasin

Mahu tidak mahu, mereka ialah terjemahan daripada masyarakat kita. Mereka menanti dan terus menanti bekalan bantuan ketauhidan mengenal Tuhan daripada sesiapa yang masih peduli.


No comments: