21 October 2009

| sounds.interesting |


JEMPUTAN: FORUM ORANG MUDA - 24 October 2009 - Etnik, Agama Dan Raja: Kesannya Terhadap Perkembangan Demokrasi Di Malaysia…..Apa Kata Orang Muda?


FORUM ORANG MUDA anjuran GERAKBUDAYA
Etnik, Agama Dan Raja: Kesannya Terhadap Perkembangan Demokrasi Di Malaysia…..Apa Kata Orang Muda?
Pendapat orang muda jarang mendapat tempat. Pandangan orang muda sukar mendapat ruang. Suara orang muda kurang pula diberi peluang. Menyedari hal ini, Gerakbudaya telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan suatu forum perbincangan dengan membariskan beberapa orang tokoh muda dari pelbagai latarbelakang sebagai panelis untuk berbincang dan menyuarakan fikiran mereka tentang persoalan-persoalan “panas” yang telah dan sedang melanda tanah air kita dewasa ini.
Apa pandangan orang muda tentang soal etnik? Apa pendapat orang muda tentang soal agama? Apa pula fikiran orang muda tentang soal Raja? Apakah pula pemahaman orang muda tentang demokrasi? Adakah etnik, agama dan Raja memberi kesan terhadap perkembangan demokrasi di negara kita ini? Adakah kesannya negatif atau positif? Adakah ianya menghalang atau membantu di dalam proses pendemokrasian negara kita? Apa kata orang muda? Apa analisa orang muda? Apa suara orang muda?
Untuk mengetahui suara orang muda di dalam membincangkan persoalan-persoalan “panas” ini, jom kita ramai-ramai datang, hadir dan sertai forum orang muda ini. Walau pun panelisnya orang muda tetapi forum ini terbuka untuk semua, muda dan tua, baru dan lama.
Berikut adalah maklumat tentang forum orang muda ini:
Tarikh : 24 Oktober 2009 (Hari SABTU)
Masa : 2.30 Petang –5.00 Petang
Tempat : KL & Selangor Chinese Assembly Hall, No. 1, Jalan Maharajalela, 50150 Kuala Lumpur,
Malaysia (Berhampiran dengan Stesyen Monorail Maharajalela).

Atur-cara Forum:
2.00-2.10 pm Pendaftaran
2.10-2.15 pm Ucapan pengenalan
2.15-2.30 pm Panelis 1: Fahmi Reza, Aktivis dan Pembikin filem dokumentari sosial & politik
2.30-2.45 pm Panelis 2: Lee Kai Loon, Pengasas dan Anggota Sekretariat Youth For Change (Y4C)
2.45-3.00 pm Panelis 3: Shazni Munir Mohd Ithnin, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM dan Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS)
3.00-3.15 pm Panelis 4: Mohd Hariszuan Jaharudin, Ketua Biro Majlis Diskusi dan Dialog Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Penulis di ruang wacana bebas blog Diskopi
3.15- 4.00 pm Komentar Jemputan: Hishamuddin Rais, blogger di blog TukarTiub
4.00 –5.00 pm Diskusi dan Dialog bersama peserta forum
5.00 pm Jamuan ringan & Tamat
Biodata Ringkas Panelis Forum Orang Muda:
Fahmi Reza
Fahmi Reza ialah seorang pereka grafik dan pembikin filem dokumentari yang menggunakan seni sebagai medium untuk membangunkan kesedaran di kalangan orang muda ke arah perubahan sosial dan politik yang lebih adil dan demokratik. Beliau telah menghasilkan dua buah filem dokumentari sejarah perjuangan politik radikal yang berjudul “10 Tahun Sebelum Merdeka” (http://10tahun.blogspot.com/) dan “Revolusi 48”. Filem dokumentari beliau yang berjudul “10 Tahun Sebelum Merdeka” telah menjadi sebuah filem dokumentari “cult” yang cukup popular di kalangan anak-anak muda.
Shazni Munir Mohd Ithnin
Shazni Munir adalah pemimpin mahasiswa yang masih menuntut di Universiti Malaya dan aktif dalam gerakan mahasiswa di tingkat nasional. Selain dari menerajui Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya dan memimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), beliau juga merupakan Pengasas Bersama Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Beliau juga turut aktif di dalam bidang penulisan dan idea serta cetusan pandangan beliau boleh dibaca di blog Perubah Zaman (shaznimunir.blogspot.com)
Lee Kai Loon
Lee Khai Loon adalah bekas aktivis mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia. Beliau pernah menerajui organisasi pemuda DEMA semasa beliau mahasiswa dan beliau jua pernah bertugas di Hong Kong sebagai anggota sekretariat Asian Students Association (ASA). Sekembalinya beliau daripada Hong Kong beliau mendirikan Youth For Change (Y4C) dan menjadi salah seorang daripada anggota sekretariatnya. Kini beliau memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan dan Ahli Maljis Perbandaran Selayang.
Mohd Hariszuan Jaharudin
Mohd. Hariszuan adalah mahasiswa tahun akhir jurusan Sains Politik di UKM. Beliau merupakan salah seorang daripada pengasas ruang wacana bebas blog Diskusi Santai Kopi (Diskopi). Di samping aktif menulis di Diskopi beliau juga aktif di dalam Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI). Di KAMI beliau menerajui Biro Majlis Diskusi dan Dialog (MADILOG). Selain daripada itu beliau juga terlibat aktif di dalam penyelidikan pilihanraya kecil di Permatang Pasir dan Bagan Pinang. Idea dan cetusan pandangan beliau boleh dibaca di blog Diskopi (diskopi.wordpress.com).
Komentar Forum: Bro TukarTiub a.k.a Hishamudin Rais
Hishamuddin Rais adalah orang tua yang perawakan, otak dan jiwanya tak pernah tua. Beliau adalah pengasas mazhab Non-Governmental Individual (NGI) dan pengarang buku “Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya” dan buku separa-intelektual “Keganasan, Penipuan & Internet”. Beliau sekarang aktif menulis di blog separa-tabloid tukartiub.blogspot.com yang sudah pun menjadi “cult classic”.
Sebarang pertanyaan atau maklumat sila hubungi: Ms Lee Siew Hwa di 03-7957 8342/8343 atau 016-465 5107; Shahrir Halim di 012- 321 5803 atau Mr Chong Ton Sin di 016-379 7231.
www.gerakbudaya.com

halaman asal klik sini.

No comments: